NEW JERSEY: Bintang tengah Newcastle United, Bruno Guimaraes, menjadi mangsa ejekan peminat bola sepak di media sosial selepas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti ketika Brazil disingkirkan Norway pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, pemain tengah itu berpeluang meletakkan Selecao di hadapan pada minit ke-14 di Stadium MetLife, namun beliau akhirnya menanggung malu selepas teknik sepakan penalti ‘acah-acah’ yang dilakukannya memakan diri.
Penjaga gol Norway, Orjan Nyland, langsung tidak terpedaya dengan helah Guimaraes dan kekal tenang sebelum merebahkan badan ke sebelah kiri untuk menyelamatkan sepakan lemah itu dengan mudah.
Kegagalan itu mengundang ‘kenduri’ kecaman daripada netizen, terutama dalam kalangan penyokong tegar kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal yang kini sedang dikaitkan dengan perpindahan pemain itu.
“Sasaran Arsenal, Bruno Guimaraes nampaknya ‘wajib’ gagal penalti,” tulis seorang peminat di laman X.
Seorang lagi peminat berseloroh: “Bruno dikaitkan dengan Arsenal dan dia terus gagal penalti, perkara ini memang tidak boleh dibuat-buat. Dia akan sangat serasi di Arsenal (yang sering hampa di saat penting).”
Malah, ada peminat yang menyalahkan rakan sepasukannya di Brazil yang juga pertahanan Arsenal: “Gabriel (Magalhaes) nampaknya sudah menjangkiti Bruno Guimaraes dengan ‘virus’ Arsenal.”
Rentetan prestasi buruk itu, segelintir peminat Arsenal secara berseloroh menuntut pengurusan The Gunners untuk mengurangkan tanda harga perpindahan Guimaraes sebanyak £30 juta (kira-kira RM170 juta) daripada nilai pasaran asalnya.
Lebih memedihkan buat Guimaraes, kegagalan itu menyaksikannya melakar sejarah hitam dalam diari bola sepak negaranya.
Beliau menjadi pemain Brazil pertama yang gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam tempoh masa permainan sebenar di pentas Piala Dunia sejak legenda bola sepak, Zico, melakukannya pada edisi 1986 menentang Perancis.
Pada edisi 1986 itu, kegagalan Zico pada minit ke-75 mengheret perlawanan ke penentuan penalti, yang akhirnya menyaksikan Brazil tersingkir 3-4.
Sejarah seakan berulang apabila duka Guimaraes kali ini turut berakhir dengan kepulangan awal skuad Brazil selepas tunduk 1-2 kepada Norway.- AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






