Home Buletin Semasa PEMBANTU PERAWAT TIDAK MENGAKU BERSALAH CEDERAKAN SUAMI BEKAS ISTERI GUNA PARANG

PEMBANTU PERAWAT TIDAK MENGAKU BERSALAH CEDERAKAN SUAMI BEKAS ISTERI GUNA PARANG

414
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pembantu perawat kesihatan hospital tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan suami kepada bekas isterinya sehingga parah menggunakan sebilah parang di tepi jalan di Kampung Pulau Raja Kubang Kerian, 16 Julai lalu.

Tertuduh, Nik Mohd Helmy Raja Sulong, 38, yang bekerja di dewan bedah di salah sebuah hospital di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkilfi Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sehingga parah menggunakan sebilah parang pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu.

Kejadian didakwa berlaku di tepi jalan di Kampung Pulau Raja Kubang Kerian di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Fariduddin Mat Noor.

Siti Hajar tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes adalah serius dan mangsa merupakan suami kepada bekas isteri tertuduh.

Muhammad Fariduddin memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana anak guamnya perlu menanggung lima anak termasuk anak tiri.

“Tertuduh juga menghidap penyakit jantung dan pernah mengalami serangan jantung serta dua kali dimasukkan ke wad hospital ketika dalam tahanan.

“Ini menunjukkan keadaan kesihatannya kurang stabil dan memerlukan rawatan berkala. Saya yakin dia akan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penyiasat serta tidak akan mengganggu mangsa dan saksi,” katanya.

Siti Hajar bagaimanapun membantah memandangkan mangsa dan tertuduh tinggal berdekatan iaitu Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi, jika syarat itu dilanggar, mahkamah berhak menarik balik jaminan dan menahan semula tertuduh.

Tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan selama sebulan sekali serta perlu menyerahkan passport.

Tarikh sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here