BERLIN: Sepanyol memulakan kempen Euro 2024 dengan cemerlang apabila Alvaro Morata meledak gol ketika menewaskan Croatia 3-0 di Berlin, manakala Lamine Yamal muncul pemain termuda dalam sejarah pertandingan itu.
Juara Eropah tiga kali itu sering dianggap tidak memiliki ketajaman di bahagian serangan dalam kejohanan utama, namun Sepanyol mempamerkan aksi yang menarik perhatian di Olympiastadion untuk mengecewakan Croatia.
Morata memecah kebuntuan pada minit ke-29 dengan gol ketujuhnya di Euro, berkongsi kedudukan ketiga dalam senarai penjaring sepanjang zaman bersama Alan Shearer dan Antoine Griezmann.
Fabian Ruiz menambah gol kedua tidak lama selepas itu menerusi kemahiran individu yang menarik.
Yamal membantu jaringan Dani Carvajal pada hujung babak pertama, manakala penyerang Croatia, Bruno Petkovic gagal menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung permainan.
“Sangat gembira dengan kemenangan ini, pada penampilan sulung saya (di Euro),” kata Yamal kepada La 1.
“Kami memperoleh keyakinan, kami pasukan yang sangat cekap dan kami membuktikannya. Kami gembira kerana semua kerja keras sejak beberapa bulan lalu membuahkan hasil.”
Bintang muda Barcelona berusia 16 tahun dan 338 hari itu mengatasi rekod pemain termuda di Euro dipegang pemain antarabangsa Poland, Kacper Kozlowski yang bermain di Euro 2020 pada usia 17 tahun dan 246 hari.
“Kami sangat berbangga kerana memiliki Lamine Yamal, dia ada banyak lagi aksi untuk ditunjukkan,” kata Ruiz. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






