LONDON: Fabian Hurzeler muncul sebagai pengurus sepenuh masa paling muda dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Brighton mengumumkan mereka melantik pengendali berusia 31 tahun itu sebagai ketua jurulatih baharu awal pagi tadi.
Hurzeler, yang mengemudi St Pauli menjuarai divisyen dua Bundesliga Jerman musim lalu, mengikat kontrak bersama kelab pantai selatan itu hingga 2027.
Jurulatih kelahiran Texas itu kini akan mengendali skuad Seagulls dengan beberapa pemain termasuk James Milner, 38, Danny Welbeck, 33, dan Lewis Dunk, 32 semuanya lebih tua berbandingnya.
Namun pengerusi Brighton, Tony Bloom berkata kejayaan Hurzeler mengemudi St Pauli ke liga utama Jerman menjadikannya “calon paling menonjol” untuk menggantikan Roberto De Zerbi, yang meninggalkan Stadium Amex hujung musim lalu.
Hurzeler akan memulakan tugas baharunya apabila beliau mendapat permit kerja sebelum skuad Brighton berkumpul bagi pramusim bulan depan.
“Daripada permulaan proses untuk melantik ketua jurulatih baharu kami, Fabian sering kali menjadi calon paling menonjol dan seseorang yang memikat tumpuan kami dengan kerja luar biasanya di St Pauli dalam 18 bulan terakhir,” kata Bloom dalam satu kenyataan kelab.
Hurzeler, yang mula bertugas sebagai jurulatih pada 2016 berkata: “Saya amat teruja untuk menjadi ketua jurulatih baharu Brighton and Hove Albion.
“Kelab ini mempunyai sejarah unik dan visi besar bagi masa depan, jadi saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada projek itu.”
Ryan Mason, ketika itu berusia 29 tahun, menjadi bos sementara Tottenham pada 2021 sekali gus muncul jurulatih paling muda pernah mengendalikan kelab EPL.
Namun Hurzeler muncul pengendali paling muda secara sepenuh masa sejak divisyen itu diperkenal pada 1992. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






