Home Buletin Semasa PEGUAM NEGARA PERLU MASA TELITI REPRESENTASI KEDUA MOHD IRWAN

PEGUAM NEGARA PERLU MASA TELITI REPRESENTASI KEDUA MOHD IRWAN

156
0

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk memutuskan representasi dikemukakan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk membatalkan tuduhan pecah amanah yang dihadapinya bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib dan Mohd Irwan didakwa atas enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berhubung bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun adalah untuk memohon satu lagi tarikh pengurusan kes.

Muhammad Saifuddin berkata, ia adalah bagi menimbangkan lebih lanjut representasi Mohd Irwan kerana jumlah wang dalam pertuduhan adalah besar iaitu RM6 bilion.

“Jadi (kami) perlu masa sedikit panjang untuk meneliti surat dalam representasi. Kalau boleh kami mohon tarikh pada September ini,” katanya.

Permohonan pendakwaan itu tidak dibantah oleh peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagaimanapun peguam Datuk K Kumaraendran bagi pihak Mohd Irwan Serigar memohon tarikh lebih awal iaitu pada Julai dengan alasan pertuduhan ke atas anak guamnya sudah ‘tergantung’ selama lima tahun.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan pada 9 Ogos ini bagi tarikh pengurusan kes bagi pendakwaan memaklumkan status representasi.

Pada 3 April lalu mahkamah sepatutnya mula mendengar perbicaraan kes berkenaan, bagaimanapun pendakwaan memohon ia ditangguhkan kerana terdapat perkembangan baharu.

Ia susulan pendakwaan menerima surat representasi daripada Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan bagi menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya, yang sedang diteliti oleh AGC.

Najib mengemukakan representasinya dua tahun lalu tetapi ditolak manakala representasi dihantar oleh Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab oleh AGC, yang kemudiannya menghantar permohonan representasi baharu Mac lalu.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 69, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Sumber BH Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here