Home Buletin Semasa TIGA PENGANGGUR DIDAKWA SAMUN BERKUMPULAN BARANG KEMAS ENAM WARGA EMAS

TIGA PENGANGGUR DIDAKWA SAMUN BERKUMPULAN BARANG KEMAS ENAM WARGA EMAS

41
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini berhubung kes samun berkumpulan barang kemas milik enam warga emas di empat daerah di negeri ini.

Mohd Khairul Azwan Abdullah @ Ahmad, 43, Ridhuan Mohamed, 44, dan Mohd Suhairey Omar, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan samun secara berkumpulan di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Mohd Suhairey dan Ridhuan didakwa bersama-sama melakukan kesalahan samun dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Aazizah Ujud, 77.

Perbuatan itu dilakukan di luar depan sebuah rumah di Cabang 3 Syed Kuning, Kadok, Ketereh, di sini pada 3.15 petang, 12 Mei lepas.

Kedua-dua mereka turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap dua wanita warga emas iaitu Halimah Senik, 62 dengan menyamun seutas gelang tangan emas milik Siti Meriam Daud, 77.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di luar depan sebuah rumah di Kampung Che Wal, Kuala Krai pada 2.30 petang, 18 Jun 2025 dan di depan sebuah rumah di Kampung Permatang Piah Pak Badol, Bachok pada pukul 1 tengah hari 8 Jan tahun lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan terhadap tiga lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Ridhuan dan Mohd Khairul Azwan didakwa atas tiga lagi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap Halimah Yusof, 84, iaitu seutas gelang tangan emas, seutas rantai leher emas termasuk loket emas milik Aminah Yusoff, 73, dan seutas rantai leher emas milik Latifah @ Azizah Yusof, 79.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Bukit Bator Gunong, Bachok pada 5 Feb 2025, di sebuah rumah di Kampung Lepan Kandis, Pulai Chondong dekat Machang pada 9 Sept 2024 dan di dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Bator Gunong, Bachok pada 13 Jan 2026.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadang jaminan terhadap ketiga-tiganya dan mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin selain menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, seorang wanita pembuat biskut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan harta curi iaitu beberapa biji manik emas milik Aazizah apabila sudah mengetahui ia merupakan harta curi berkaitan satu kes samun di Kota Bharu.

Tertuduh, Nik Faizah Nik Musa, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai emas di Machang dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 13 Mei 2025.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Alini Ahamad Kamil.

Terdahulu, Muhamad Nadzir mencadang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum Nur Alini memohon ikat jamin yang rendah kerana tertuduh sudah berpisah dengan suami dan menanggung tiga anak berusia tiga hingga lima tahun.

Rais Imran membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan wanita itu tidak membayar jaminan tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here