Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Isu retention strategies di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disuarakan oleh seorang doktor selebriti di akaun media sosial miliknya pada 19 Disember lalu mendapat perhatian Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Maklum balas itu disuarakan melalui ciapan Facebook.

“Saya mendengar segala luahan dan pandangan daripada Dr. Rafidah dan rakan-rakan doktor yang lain. Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KKM kekurangan kakitangan.
“Dalam pada itu, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan-rakan yang lain. Saya pastinya tidak pernah dan tidak akan menafikan situasi ini.
“Namun, walau dengan segala kekangan yang wujud hari ini, saya akan pastikan bahawa semua isu yang dihadapi oleh warga KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan,”katanya dalam kenyataan.

Katanya KKM juga tidak memandang enteng mengenai lebih 6,000 doktor yang telah meletak jawatan sepanjang lima tahun lalu.
Katanya isu itu penting untuk diambil perhatian bahawa angka tersebut termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap kerana ia adalah sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan.
“Selain itu, sesetengah doktor telah beralih ke bidang akademik, dan dalam berbuat demikian, masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam. Namun begitu, ketirisan bakat kekal menjadi cabaran yang signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan.
“Walaupun diakui bahawa KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, kita telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam,”katanya.
Dalam perkembangan sama beliau komited untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membantu KKM mengatasi cabaran-cabaran ini.
Namun, katanya terdapat beberapa aspek sememangnya berada di luar bidang kuasa KKM. Oleh itu, KKM sentiasa melibatkan JPA dan agensi-agensi lain untuk memastikan isu-isu ini diselesaikan dengan berkesan dan murni.
“Suka untuk saya nyatakan bahawa tugas yang begitu sukar dan berat ini memerlukan penglibatan, sumbangan dan kerjasama semua pihak.
“Hakikatnya, saya memerlukan Dr. Rafidah dan rakan-rakan profesional kesihatan yang berkongsi aspirasi yang sama untuk kita sama-sama meneruskan perjuangan ini.
Ribuan terima kasih daripada saya untuk semua.
Tambahnya pihak Kementerian juga berharap dapat meningkatkan langkah dalam jangka sederhana dan jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja yang lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum.
Dalam masa sama, Rafidah turut memberi reaksi di ciapan Facebooknya dengan menyokong kenyataan Dzulkefly dan dapat dilaksanakan dengan baik..
“Kita perlu mengetahui bilangan kakitangan yang ideal yang diperlukan untuk mengelakkan beban berlebihan, syif kerap, dan lain-lain. Ini penting untuk memastikan kualiti penjagaan dan dapat mengimbangi keperluan sahsiah kakitangan kita.
“Saya tahu kita tidak akan dapat menyelesaikannya dalam masa yang singkat, tetapi mengakui masalah itu wujud adalah satu langkah besar dan kini boleh menyusun strategi untuk mengatasinya.
IMedikel TV






