Home Segmen Kesihatan OSTEOARTRITIS, SAKIT SENDI YANG WAJAR DIBERI PERHATIAN

OSTEOARTRITIS, SAKIT SENDI YANG WAJAR DIBERI PERHATIAN

200
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Ramai dalam kalangan kita mengalami masalah sendi sama ada selepas melakukan aktiviti atau bangun daripada tidur.

Biasanya sakit sendi berlaku kepada setiap individu tidak mengenal usia khususnya warga emas.

Tahukah anda, osteoartritis adalah sejenis penyakit sendi yang banyak dialami oleh pesakit di peringkat umur tua.

Secara dasarnya, osteoartritis berlaku apabila tulang rawan antara dua permukaan tulang dalam sendi menipis dan terhakis menyebabkan dua permukaan tulang tanpa rawan yang membentuk sendi akan bergeser.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Shaifuzain Ab. Rahman, hal tersebut menyebabkan kesakitan ketika pergerakan sendi berlaku terutama semasa berdiri dan berjalan yang mana proses kerosakan sendi itu dinamakan proses degeneratif.

“Osteoartritis boleh menjejaskan semua sendi sinovial pada tubuh, tetapi ia lebih kerap melibatkan sendi lutut dan pinggul kerana sendi ini menanggung beban berat badan seseorang.

“Kita perlu tahu sendi di bahagian pinggang, tulang belakang, bahu dan tangan juga adalah antara sendi lain yang boleh terlibat dengan osteoarthritis,”katanya.

Dr. Shaufuzain yang juga Pakar Perunding Ortopedik dan Artroplasti, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), berkata osteoartritis dibahagikan kepada dua iaitu osteoartritis primer (OP) dan osteoartritis sekunder (OS).

Beliau berkata kebanyakan pesakit OP adalah kerana peningkatan usia atau proses penuaan dan wanita sering kali dikaitkan dengan risiko untuk mendapat OP.

“Melalui pelbagai kajian, risiko menghidap penyakit ini adalah 5:1 di mana wanita lebih cenderung untuk mendapat osteoartritis berbanding lelaki.

“Faktor lain seperti berat badan berlebihan (obesiti) dengan ‘Body Mass Index’ (BMI) melebihi dari 28 juga telah dikenal pasti sebagai mempunyai risiko tinggi untuk mendapat OP,” katanya.

Katanya faktor yang memberi kesan buruk kepada sendi adalah jangkitan kuman dan kepatahan lampau yang melibatkan sendi serta penyakit seperti ‘Rheumatoid Artritis’ dan ‘Gouty Artritis’

Shaifuzain berkata, OS pula terjadi disebabkan oleh faktor luaran yang bertindak ke atas rawan sendi sehingga menyebabkan gejala osteoartritis terjadi.

“Pergerakan geseran sendi yang bergerak dalam jangka masa lama dan berulang juga boleh menyebabkan kerosakan yang teruk terutamanya sendi yang menanggung berat badan seperti sendi lutut, pinggul dan buku lali,” katanya.

Beliau berkata terdapat tiga jenis rawatan bagi merawat penyakit tersebut iaitu melalui ubatan, fisioterapi, suntikan intra-artikular serta rawatan pembedahan.

“Bagi mengesan osteoartritis, pesakit perlu menjalani pemeriksaan sinar-x atau ‘x-ray’ pada sendi untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.

“Pemeriksaan ‘x-ray’ adalah penting untuk membantu pakar perubatan membuat perancangan tentang rawatan yang bersesuaian dengan tahap osteoartritis pesakit itu,” katanya.

Dr. Shaifuzain, berkata tanda fizikal bagi penyakit osteoartritis biasanya bergantung kepada tahap kesakitan pesakit di mana mereka mengalami lenguh pada sendi yang terlibat.

“Pesakit akan berasa sakit atau tidak selesa ketika pergerakan sama ada sedang membongkok, mencangkung atau sekadar bergerak kecil di mana sendi mengeluarkan bunyi, dan bunyi tersebut dipanggil ‘crepitus’.

“Pesakit juga biasanya mengalami perubahan fizikal yang lebih ketara pada sendi seperti lutut kelihatan pengkar ke dalam dengan lebih jelas dan perlu menggunakan alat sokongan seperti tongkat, ‘crutches’ atau ‘walking frame’ untuk menampung kesakitan dan ketidak stabilan pada sendi yang terlibat,”katanya.

Beliau berkata, apabila pesakit sudah berada pada tahap tersebut, mereka perlu mengambil  ubat penahan sakit atau ‘pain killer’ bagi membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan aktiviti harian pesakit.

“Selain itu, antara ubatan lain seperti ‘Glucosamine’, ‘Hyaluronic Acid’ (HA) dan rawatan ‘Platelet Rich Plasma’ (PRP) bagi mengurangkan inflammasi dalaman dan membantu membaiki kerosakan rawan dari dalam sendi turut diberikan, bergantung kepada tahap osteoartritis yang dialami pesakit.

“Penggunaan ubat terkini seperti ‘Mobithron Advance’ yang mengandungi ‘Hyaluronic Acid, Type II Collagen’ dan ekstrak herba ‘Boswellia Serrata’ juga boleh membantu menstabilkan tulang rawan bagi mengurangkan hakisan akibat geseran sendi,”katanya.

Katanya pakar tulang (Ortopedik) atau pakar bedah sendi (Artroplasti) akan membantu pesakit sekiranya memerlukan rawatan lanjut atau pembedahan.

Dr. Shaifuzain menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan cakna untuk datang lebih awal berjumpa pakar perubatan sekiranya mempunyai tanda fizikal atau perubahan pada sendi badan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here