Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Menggunakan bakat yang ada adalah satu kelebihan kepada seseorang dalam menjana pendapatan.
Ramai dalam kalangan kita yang mempunyai bakat menulis, melukis, menganyam dan sebagainya, namun jarang kita melihat anak muda menunjukkan bakat dalam membuat tasbih.
Justeru, seorang pembuat tasbih di Kampung Dusun Tok Deh, Pulau Kambing Pantai Melawi, di sini, menjana pendapatan dalam membuat tasbih.


Ahmad Lokman Roslan, 36, mula mahir membuat tasbih sejak berumur 18 tahun selepas membantu bapanya, Roslan Mamat, 65, menguruskan dan mencari pelbagai jenis kayu di hutan seluruh Semenanjung Malaysia.
“Tasbih ini diperbuat daripada 100 jenis kayu yang diambil di hutan termasuk teras kayu daripada gemunggal, kemuning hitam, asam jawa, panca delima dan cendana merah.
“Pembuatan tasbih dahulunya menggunakan mata pisau untuk membentuk kayu namun kini saya beralih kepada mesin khas untuk menghasilkan bentuk mengikut saiz yang sesuai,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, bagaimanapun peralatan itu diubahsuai dan memerlukan kos kira-kira RM5,000.
Jelas Lokman, dia sering mengikuti ayahnya yang dikenali sebagai Ayah Mi Sifu Herba memasuki hutan dalam tempoh masa yang lama untuk mencari kayu yang sesuai.
“Untuk jualan tasbih ini, saya memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih jenis kayu yang mahu dijadikan tasbih dan alhamdulillah sehingga ke hari ini jualan saya mendapat sambutan hingga ke seluruh negara, termasuk pasar tani dan ekspo.
“Selain itu, beberapa syarikat korporat turut menempah tasbih, dan menjadi pelanggan tetap kerana mereka mempercayai hasil kerja saya,” katanya.


Tambahnya, tasbih itu dijual pada harga RM10 namun boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jenis dan keadaan kayu yang digunakan.
IMedikel TV






