Home Buletin Semasa NUR AIN ANAK YANG BAIK – BAPA

NUR AIN ANAK YANG BAIK – BAPA

176
0

Nik Nur Zakia Abdullah – IMedikel TV

BACHOK: Guru Bahasa Arab, Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, yang maut dalam kemalangan di Kampung Kubang Telaga, di sini, pada 9 Jun lalu disifatkan sebagai anak yang baik.

Menceritakan kejadian pada hari tersebut, bapanya Zakaria Mat, 54, berkata, tiada sebarang perubahan pada hari tersebut dan arwah berada di sekolah untuk mengadakan persiapan bagi pertandingan Bahasa Arab.

“Nur Ain baru sahaja bekerja di Sekolah Menengah Ugama (A) Al-Hidayah Al-Islamiah
selama tiga bulan.

“Dia minat kepada subjek bahasa, dan dia mengajar Bahasa Arab di sekolah tersebut. Dan pada hari kejadian pihak sekolah membuat persiapan bagi pertandingan Bahasa Arab yang akan diadakan pada hari Isnin. Dia bertindak sebagai pengacara majlis,” katanya.

Katanya selepas itu, Nur Ain pulang ke rumah seperti biasa pada jam lebih kurang 2 petang.

“Semasa kejadian saya berada di pejabat. Saya dimaklumkan arwah kemalangan yang jaraknya lebih kurang 2 kilometer (km) sahaja dari rumah.

“Saya terima panggilan lebih kurang jam 3.17 petang dan selepas tu saya terus ke tempat kejadian,” katanya.

Menurut Zakaria juga Imam Muda Mukim Kubang Telaga, Nur Ain seorang guru yang disayangi pelajarnya di sekolah dan baru setahun tinggal bersamanya.

“Di sekolah dia memang disayangi pelajar dan rakan sekerja. Dia juga seorang yang penyayang. Sebelum ni arwah sambung belajar di Mesir, dan dia baru sahaja balik ke kampung pada 17/1/2023.

“Arwah memang rapat dengan saya dan adiknya Nur Wadhihah Musfirah, 22. Apa pun saya dan keluarga memang reda dengan pemergiannya,” katanya.

Tambahnya, Nur Ain bakal melangsungkan perkahwinan pada Januari tahun depan dan segala persiapan sudah diaturkan.

“Dia sudah menempah beberapa persiapan perkahwinan. Dan saya juga sudah menempah seekor kerbau untuk majlis Nur Ain yang akan berlangsung Januari tahun depan.

“Tetapi, sekarang dia sudah tiada,” katanya

Sementara itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan membuat Ziarah Prihatin kepada keluarga mangsa.

Pengarahnya, Nora Yaacob, berkata waris keluarga mangsa menerima faedah daripada PERKESO Kelantan.

“Pihak PERKESO membuat Ziarah Prihatin kepada keluarga arwah Nur Ain Fitrah. Kami sentiasa proaktif kepada situasi atau kes yang berlaku. Hasil semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin mengesahkan bahawa Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut adalah pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

“Alhamdulillah, walaupun arwah bekerja di Sekolah Menengah Ugama (A) Al-Hidayah Al-Islamiah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) selama tiga bulan tetapi sekolah tempat arwah mengajar mencarum PERKESO,” katanya.

Katanya sebagai pencarum PERKESO, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT).

“Hari ini pihak kami datang untuk menziarah dan memberi faedah tersebut termasuk kotak prihatin kepada waris keluarga mangsa.

“Manakala kedua ibu bapa dan dua adik arwah yang berumur 21 tahun ke bawah juga menerima wang pencen sebanyak RM1040 sebulan. Dua adiknya akan menerima wang pencen tersebut sehingga mereka berusia 21 tahun,” katanya.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here