Home Luar Negara NETANYAHU ARAH PENDUDUK GAZA PINDAH

NETANYAHU ARAH PENDUDUK GAZA PINDAH

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan penduduk Bandar Gaza berpindah keluar susulan serangan tentera rejim itu yang semakin diperhebat.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, tentera Israel akan meningkatkan pengeboman sebagai persediaan untuk menawan bandar terbesar di Gaza itu walaupun menerima desakan antarabangsa supaya menghentikan operasi.

Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 39 penduduk terbunuh semalam, termasuk 25 orang di Bandar Gaza.

Dalam pada itu, menurut Menteri Luar, Gideon Saar, enam orang dilaporkan maut selepas dua lelaki bersenjata Palestin melepaskan tembakan terhadap sebuah bas di Baitulmaqdis.

Susulan itu, kedua-dua penyerang ditembak mati oleh seorang pegawai keselamatan dan orang awam bersenjata.

Netanyahu menegaskan serangan berkenaan hanya menguatkan tekad Israel untuk memerangi keganasan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran kepada Hamas supaya melepaskan tebusan dan meletakkan senjata atau berdepan pemusnahan.

Pada masa sama, Israel juga mendakwa Hamas menggunakan bangunan tinggi di Bandar Gaza sebagai pusat risikan sebelum ia dimusnahkan tentera rejim itu.

Netanyahu berkata, lebih 50 bangunan musnah dalam tempoh dua hari dan mengingatkan penduduk supaya segera berpindah.

“Dalam dua hari kami meruntuhkan 50 menara keganasan dan ini hanyalah permulaan operasi darat yang lebih besar di Bandar Gaza. Saya katakan kepada penduduk, kamu diberi amaran, tinggalkan sekarang!” katanya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula berkata, Israel sudah menerima syarat gencatan senjata dan memberi amaran terakhir kepada Hamas.

Hamas kemudiannya menyatakan kesediaan untuk segera berunding dan menuntut pengunduran penuh Israel dari Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 64,522 rakyat Palestin terbunuh, sejak serangan balas Israel bermula. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here