Home Buletin Semasa JBPM KELANTAN SASAR SEMUA ANGGOTA BOMBA KUASAI KEMAHIRAN BERENANG TAHUN INI

JBPM KELANTAN SASAR SEMUA ANGGOTA BOMBA KUASAI KEMAHIRAN BERENANG TAHUN INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyasarkan semua anggotanya menguasai kemahiran berenang menjelang akhir tahun ini sebagai langkah meningkatkan keupayaan pasukan penyelamat menghadapi operasi, khususnya ketika banjir.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti seramai 88 anggota yang tidak mahir berenang namun jumlah itu berjaya dikurangkan kepada 53 orang selepas siri latihan dijalankan.

“Latihan ini penting kerana anggota bomba bukan sahaja berdepan dengan operasi kebakaran tetapi juga penyelamatan, termasuk di kawasan air. Sebagai pasukan penyelamat, kemahiran berenang sepatutnya menjadi asas,” katanya di sidang media selepas Perasmian Majlis Perhimpunan Kali Ke-5 Tahun 2025 di JBPM Kelantan Tunjung, di sini pada Isnin.

Beliau menjelaskan, walaupun syarat berenang belum diwajibkan bagi pengambilan anggota bomba, pihaknya melihat kemahiran itu sebagai keperluan utama untuk memastikan anggota dapat menyelamatkan diri dan orang lain ketika operasi, terutama semasa banjir.

Beliau berkata, latihan fasa pertama dijalankan di kolam renang, manakala sesi seterusnya akan diperluas ke kawasan terbuka seperti tasik dan sungai.

“Kita sasarkan semua anggota bomba di Kelantan menguasai kemahiran ini, kecuali mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau kekangan fizikal,” katanya.

Tambahnya, walaupun kolam renang di negeri ini akan ditutup sementara bagi kerja penyelenggaraan, JBPM Kelantan akan mencari alternatif lokasi bagi memastikan latihan dapat diteruskan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here