Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Penggunaan bulu mata palsu semakin popular sebagai pelengkap solekan, namun pemakaiannya boleh memberi risiko kesihatan jika tidak digunakan dengan berhati-hati.
Menurut portal kesihatan Hello Doktor, walaupun bulu mata palsu itu sendiri tidak menyebabkan kanser, ada gam pelekat yang digunakan didapati mengandungi formaldehid iaitu bahan kimia yang dikenali sebagai karsinogen, iaitu penyebab kanser.
Selain itu, gam berkenaan juga boleh mencetuskan alahan dan kerengsaan kulit, terutamanya bagi individu yang mempunyai kulit sensitif atau sedang menjalani rawatan kanser.
“Pemakai perlu berhati-hati dengan kandungan gam serta material bulu mata palsu yang digunakan. Ia boleh diperbuat daripada serat sintetik, rambut manusia atau bulu haiwan seperti mink, yang berisiko menimbulkan alahan kepada sesetengah individu,” menurut perkongsian portal tersebut.
Antara risiko kesihatan akibat pemakaian bulu mata palsu termasuk:
– Alahan pada bahan gam atau material bulu mata
– Jangkitan kuman jika tidak dibersihkan dengan betul
– Keguguran bulu mata asli akibat penggunaan berpanjangan
– Kerengsaan kulit dan mata di sekitar kelopak
– Pendedahan kepada formaldehid dalam gam pelekat, yang berpotensi meningkatkan risiko kanser jika digunakan tanpa kawalan
Pengguna disarankan memilih gam pelekat bebas formaldehid, menjaga kebersihan semasa penggunaan serta mengelakkan pemakaian berpanjangan untuk mengurangkan risiko kesihatan.
IMedikel TV






