KUALA LUMPUR: Lebih setahun bergelar suami isteri, pelakon Nad Zainal, 34, sedang melalui fasa bahagia bersama suami tersayang, Ungku Ismail Aziz, 38.
Melengkapi rumah tangga Nad dan Ungku Ismail bila si kecil, Ungku Indra Puteh Al Maajid yang baru berusia sembilan bulan hadir dalam hidup mereka.
Sejak berkahwin, Nad dilihat lebih banyak ‘berkepit’ dengan suaminya dengan menghasilkan pelbagai kandungan dalam media sosial berbanding muncul di kaca televisyen (TV) sehinggakan menimbulkan spekulasi pelakon kecil molek itu dikongkong Ungku Ismail.
Namun, pelakon Cina Buta itu berkata, situasi sebenar tidak seperti disangka.
“Kalau kongkong tentu saya tertekan dan terbeban. Tapi, saya tak rasa apa-apapun, hidup saya normal macam pasangan lain.
“Saya merasakan perubahan kepada diri. Sebelum ini, hal kecil pun saya boleh melenting, tapi saya jadi lebih tenang.
“Saya memang perlukan seseorang yang memahami situasi saya sebagai ibu dan pelakon. Ungku Ismail adalah pasangan yang tepat kerana dia juga seorang pelakon,” katanya kepada BH Online.
Jelas Nad lagi, dia cukup mengagumi suaminya yang disifatkan seorang yang bijak.
Bukan sahaja hebat beraksi di depan lensa kamera, malah Ungku Ismail juga pandai menghasilkan aplikasi, permainan video, termasuk pengurusan kewangan perniagaan.
“Selain berlakon, Ungku Ismail ajar saya banyak perkara lain. Dia ajar perbelanjaan betul dan bagaimana nak buat laman sesawang.
“Saya kagum dengan kebijaksanaan suami kerana macam-macam perkara tahu buat. Dia boleh bina laman sesawang, aplikasi untuk belajar dan hasilkan permainan video,” katanya.
– BH Online –
Imedikel TV






