Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited menyokong penganjuran program seni, budaya dan warisan melalui pemberian Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) sebagai usaha memperkasa industri kebudayaan negara.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, geran tersebut diwujudkan bagi menghargai sumbangan dan komitmen persatuan serta penggiat seni dalam menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan di peringkat akar umbi.

“Kita ada geran yang dipanggil GSSK. Ia diberikan kepada program-program kebudayaan yang dilaksanakan di negara ini. Kita sentiasa menyokong usaha itu dengan memberi sedikit bantuan kewangan, tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa yang menilai setiap permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Citrawarna Siam Malaysia Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung di Wat Machimmaram, Tumpat, malam tadi.
Katanya, MOTAC berharap agar persatuan seni budaya dan warisan tidak berputus asa dalam membantu usaha kementerian menyebarluaskan agenda seni budaya seperti digariskan dalam Teras Dasar Kebudayaan Negara.
Dalam pada itu, Datuk Shaharuddin menyifatkan penganjuran Festival Citrawarna Siam Malaysia sebagai satu usaha penting dalam memelihara kebudayaan etnik minoriti yang turut menjadi sebahagian daripada kepelbagaian rakyat Malaysia.

“Saya berharap program seperti ini akan diterus diadakan. Festival ini bukan sahaja menonjolkan kebudayaan masyarakat Siam, malah ia juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,”katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa MOTAC bersama Lembaga Tabung Haji akan memperhebatkan kempen kesedaran berkaitan penipuan pakej haji dan umrah yang semakin membimbangkan.
“Kita akan melaksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya tidak terpedaya dengan skim penipuan termasuk umrah.
“Kita dapati perkara ini berlaku setiap tahun, kesedaran itu amat penting supaya masyararakat dapat mengenal pasti yang mana benar atau tidak,”katanya.
Menurut beliau, tindakan pembatalan serta penggantungan lesen terhadap syarikat pelancongan yang terbabit dalam penipuan sudah diambil bagi melindungi kepentingan jemaah.
IMedikel TV






