Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Tiga kanak-kanak nyaris lemas ketika mandi di Pantai Irama, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Husin, seorang daripada mangsa dikejarkan ke Hospital Bachok untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi selamat dan dibenarkan pulang ke rumah.
“Ketika kejadian, keadaan pantai berombak dengan air pasang, selain cuaca panas dan berangin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kejadian disedari selepas petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang melakukan rondaan terdengar jeritan orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, anggota APM bertindak pantas sebelum berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dan membawa mereka ke darat dalam tempoh beberapa minit.

“Rawatan awal turut diberikan di lokasi kejadian dengan bantuan orang awam,” jelasnya.
Operasi menyelamat itu membabitkan lima anggota APM yang menggunakan peralatan keselamatan seperti tali penyelamat, pelampung penyelamat (rescue tube) dan jaket keselamatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.
APM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di pantai, terutamanya dalam keadaan ombak kuat dan air pasang.
Ibu bapa juga diingatkan agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta mematuhi semua arahan keselamatan yang ditetapkan ketika beriadah di kawasan pantai.
IMedikel TV






