Home Sukan CARRICK MAHU UNITED BINA PASUKAN SEKITAR MAINOO

CARRICK MAHU UNITED BINA PASUKAN SEKITAR MAINOO

162
0

MANCHESTER, England: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Bos Manchester United, Michael Carrick percaya Kobbie Mainoo memiliki kualiti dan karakter untuk menjadi pemain penting kelab itu selepas mengharungi tempoh mengecewakan sepanjang era Ruben Amorim.

Mainoo buat kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini pada perlawanan sulung Carrick sebagai pengurus sementara, ketika United mendominasi musuh tetangga Manchester City sebelum menang 2-0.

Pemain berusia 20 tahun itu mencuri tumpuan pada musim 2023-24 di bawah kendalian Erik ten Hag, termasuk menjaringkan gol ketika United menewaskan City pada final Piala FA serta memainkan peranan utama dalam perjalanan England ke final Euro 2024.

Namun, dia bergelut mendapatkan minit permainan sepanjang tempoh 14 bulan Amorim yang berakhir dengan kegagalan, apabila pengendali dari Portugal itu menolak gesaan untuk menggandingkan Mainoo bersama kapten Bruno Fernandes.

“Kelab ini memerlukan pemain muda yang muncul dan menjadi asas kepada makna sebenar kelab ini, bukan hanya untuk pemain atau skuad, tetapi untuk kelab dan penyokong,” kata Carrick pada sidang media praperlawanan semalam menjelang kunjungan ke gelanggang pendahulu EPL, Arsenal tengah malam esok.

“Saya rasa itu sesuatu yang perlu kami fahami dan terus bina.

“Kobbie adalah contoh terbaik. Muncul dengan pantas dan meningkat begitu cepat, beraksi dalam perlawanan besar yang luar biasa serta memberi impak pada usia yang amat muda menunjukkan kualiti tinggi serta karakter.

“Dalam karier ada turun naik dan kadangkala laluannya berbeza. Tetapi saya rasa anda sudah lihat minggu lalu apa yang mampu diberikan Kobbie.”

Kemenangan ke atas City melonjakkan United yang berada di tangga kelima kepada hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas liga.

Suasana di Old Trafford turut berubah hasil persembahan positif itu dan Carrick berharap ia menjadi asas kukuh untuk penamat musim yang positif ketika United memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

“Ia satu keputusan besar, persembahan besar dan memberi lonjakan emosi yang besar di dalam stadium,” tegas Carrick.

“Ia soal mencari keseimbangan antara mengambil galakan serta keyakinan daripada perlawanan itu dan kekal berpijak di bumi nyata.

“Satu perlawanan tidak menjadikan anda pasukan hebat, tetapi ia memberi asas yang sangat baik untuk dibina, jadi keyakinan itu ada.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here