Home Hiburan NAK ORANG RASA ‘VIBE’

NAK ORANG RASA ‘VIBE’

524
0

Ismail Izzani, kembali ke pentas muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul Tenggelam.

Lagu ini mengangkat tema cinta mendalam dan jujur, disampaikan melalui melodi yang menyentuh hati dan lirik yang mudah difahami.

Lirik Tenggelam ditulis Ismail bersama Brendan Lim dan muziknya digubah Amanda Gnai dan Brendan manakala susunan muzik dan penerbitan dibuat pasukan produksi terkenal, MFMF.

Menurut Ismail, Tenggelam bukan lagu sedih, sebaliknya menggambarkan rasa cinta yang begitu kuat.

“Lagu ini mengenai bagaimana cinta itu membalut kita saat kita bertemu seseorang yang memahami siapa diri kita,” katanya.

Ismail berkongsi bahawa proses penciptaan lagu berlaku secara spontan. Dalam sesi pertamanya di studio MFMF, dia terus mendapat idea selepas mendengar rentak lagu itu.

“‘Hook’ lagu ini datang terus. Banyak lirik datang daripada saya sendiri dan prosesnya sangat semula jadi,” katanya.

Bekerja dengan MFMF juga memberi pengalaman baharu kepada Ismail.

Baginya, suasana studio yang selesa dan terbuka membantu menghasilkan lagu yang jujur dan ikhlas.

Video muzik rasmi Tenggelam pula tampil dengan pendekatan berbeza. Tiada jalan cerita tetap, sebaliknya ia menampilkan mood dan emosi. Gaya visualnya turut membawa sentuhan era Y2K.

“Kami mulakan penggambaran seawal jam 4 pagi. Saya suka sebab ada banyak ruang untuk improvisasi. Video muzik ini lebih kepada vibe dan perasaan, bukan jalan cerita,” katanya.

Satu lagi momen bermakna buat Ismail adalah peluang kembali bekerjasama dengan Ghazi Maslan dan Lily, individu yang pernah terbabit sejak awal kariernya.

Baginya, pengalaman ini menghidupkan semula semangat dan kenangan lama.

Bercakap mengenai harapan terhadap lagu ini, Ismail mengaku dia tidak meletak jangkaan tinggi.

“Saya cuma nak orang rasa ‘vibe’ lagu ini. Saya nak orang terima saya bukan sekadar penyanyi, tapi juga sebagai pemuzik dan penghibur,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here