SANTA CLARA: Mexico dipaksa bekerja keras dalam tempoh yang lama sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas Jamaica hasil jaringan Gerardo Arteaga pada minit ke-69 dalam aksi Kumpulan B saingan Copa America 2024.
Pasukan kendalian Jaime Lozano menerima tamparan hebat apabila kapten mereka yang juga pemain tengah West Ham, Edson Alvarez terpaksa dikeluarkan pada minit ke-29 selepas mengalami kecederaan.
Skuad ‘El Tri’ bergelut untuk mencipta peluang pada separuh masa pertama dengan percubaan terbaik mereka hadir menerusi rembatan lencong Luis Romo, sebelum rehat.
Jamaica menyangka mereka sudah mendahului pada minit ke-50, namun jaringan menerusi tandukan Michail Antonio dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Situasi itu membangkitkan semangat pemain Mexico untuk memperkemaskan gerakan serangan dan usaha mereka berhasil menerusi rembatan deras Arteaga.
Jamaica memiliki peluang terakhir untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata, tetapi sepakan Dexter Lembikisa berjaya diselamatkan penjaga gol Mexico, Julio Gonzalez.
Arteaga berkata, jaringan Jamaica yang dibatalkan memberikan Mexico semangat untuk terus berusaha dan memenangi perlawanan.
“Satu gol, sama ada untuk pasukan sendiri atau lawan, banyak mengubah keadaan anda. Melihat ia (jaringan Jamaica) dibatalkan, itu juga sedikit sebanyak menaikkan semangat kami untuk terus berusaha mencari gol,” kata pertahanan kiri itu kepada TUDN.
Mexico akan menentang Venezuela, Khamis ini di Los Angeles, sementara Jamaica berdepan Ecuador pada hari yang sama di Las Vegas.
“Kami tahu tidak akan ada lawan yang mudah. Syukur kami menang menentang Jamaica dan kini kami mahu meraih satu lagi kemenangan,” kata Arteaga. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






