AMMAN: Polis Jordan semalam menemui dan meletupkan bahan letupan disimpan di kawasan perumahan yang sesak di ibu negara berhampiran lapangan terbang tentera yang digunakan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS).
Menurut kenyataan pengarah keselamatan awam, bahan letupan di sebuah kediaman yang terletak di kawasan kejiranan Marka di timur laut ibu negara dan diletupkan di lokasi selepas penghuninya dipindahkan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan sama ada polis mengesyaki simpanan letupan itu berkaitan dengan keganasan, mengenai tangkapan yang dibuat atau memperincikan kuantiti bahan letupan ditemui.
Katanya, perincian lanjut akan didedahkan selepas siasatan selesai.
Sementara itu, seorang saksi berkata, flet itu terletak hampir satu kilometer dari lapangan terbang tentera Marka yang digunakan oleh pesawat AS ditempatkan oleh kerajaan itu dan negara sekutu lain.
Menutut bekas pegawai dan pakar keselamatan, bahan letupan itu ditemui selepas pihak berkuasa pertahanan awam tiba di flet itu berikutan letupan yang pada mulanya dipercayai berpunca daripada kebocoran gas, tetapi mungkin disebabkan kemalangan ketika cuba mengeluarkan bahan letupan itu.
“Semua petunjuk mengaitkannya kepada kes pengganas dan kes berkaitan kumpulan radikal yang menyasarkan kerajaan atas sebab pendiriannya terhadap Gaza,” kata bekas brigedier jeneral dalam perisikan Jordan, Saud Al Sharafat.
Sekutu AS, Jordan, mempunyai lebih 3,500 tentera AS yang ditempatkan di beberapa pangkalan dan sejak perang antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza meletus pada Oktober, ia semakin kerap menjadi sasaran kumpulan disokong Iran yang berpangkalan di negara jiran Syria dan Iraq.
Sepanjang tahun lalu, Jordan berkata pihaknya berjaya menggagalkan banyak percubaan untuk menyeludup senjata oleh pihak yang dikaitkan dengan militia pro-Iran di Syria, bagaimanapun Iran menafikannya.
Kebanyakan senjata itu diseludup ke Tebing Barat yang diduduki Israel, kata pegawai Jordan, sambil menambah pihaknya sudah menahan beberapa warga Jordan yang dikaitkan dengan pejuang Palestin. – REUTERS, BH Online –
IMEDIKEL TV






