RIYADH: Kumpulan Houthi di Yaman melancarkan serangan ke atas menara tertinggi di ibu negara Arab Saudi, semalam.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Sekurang-kurang 11 cedera dalam kejadian itu yang juga serangan kali kedua terhadap bangunan pencakar langit berkenaan dalam tempoh kurang seminggu.
Pertahanan Awam Arab Saudi mengesahkan kecederaan terbabit, selain kongsikan gambar mercu tanda itu yang menempatkan ibu pejabat Dana Pelaburan Awam (PIF) negara ini.
Gambar itu menunjukkan kerosakan pada bahagian tertentu bangunan berkenaan – serupa dengan kesan serangan pada 19 November lalu yang mengakibatkan kerosakan tetapi tiada kes kecederaan.
REUTERS bagaimanapun tidak dapat segera memastikan bila gambar itu diambil atau tahap kerosakan lanjutan akibat serangan terkini berkenaan.
Menurut laporan REUTERS, pakatan diketuai Arab Saudi untuk memerangi Houthi pula kemudian memaklumkan serangan itu membabitkan penggunaan dron.
Pakatan itu turut memberi amaran akan bertindak balas secara tegas terhadap serangan Houthi yang didakwa sengaja menyasarkan orang awam dan harta benda awam.
Sementara itu, pakatan tentera diketuai Arab Saudi untuk memerangi Houthi, hari ini berkata pihaknya telah menyerang Hodeida di Yaman.
Kumpulan pejuang itu pula mengancam untuk bertindak balas terhadap pelabuhan Laut Merah di Arab Saudi jika serangan berlaku.
Dalam satu hantaran melalui media sosial pada awal pagi ini, Riyadh mengarahkan orang awam supaya berpindah keluar Hodeida.
Agensi media Houthi, Almasirah melaporkan berlaku serangan ke atas Pelabuhan Hodeida tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Setakat berita ini ditulis, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Menurut laporan Almasirah lagi, tentera Arab Saudi turut menyerang kawasan lapangan terbang antarabangsa.
Terdahulu jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, memberi amaran keras bahawa Arab Saudi akan berdepan tindak balas jika Riyadh melancarkan serangan.
“Pelabuhan Jeddah dan juga semua pelabuhan Arab Saudi yang lain di sepanjang pesisir Laut Merah akan menjadi sasaran tentera kami jika pihak musuh melaksanakan ancaman mereka untuk mengebom Pelabuhan Hodeida,” katanya dalam satu hantaran melalui Telegram, hari ini.
Saree sekali gus memberi amaran kepada orang awam berhampiran pelabuhan-pelabuhan Arab Saudi agar ‘segera berpindah keluar serta kekal menjauhi kawasan berkenaan’, selain menggesa ‘semua syarikat perkapalan untuk mengalihkan kapal-kapal mereka dari pelabuhan terbabit dengan serta-merta.’ – AGENSI, BH Online –
IMedikelTV






