PETALING JAYA: Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Shiqin Kamal, 35, sah bergelar isteri kepada jurulatih sukan memanah dan berkuda, Mika Irfan Nojey, 28, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di GlamHall Damansara, Mercu Mustapha Kamal, di sini, tepat jam 12 tengah hari, hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah yang juga Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abd. Salam Mahmud, dengan berwalikan abang pengantin perempuan, Firodzeen Kamal.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua mempelai dalam suasana penuh kesyukuran.
Dalam majlis itu, Mika Irfan menyerahkan mas kahwin sebanyak dua dinar emas kepada isterinya.
Majlis turut menyaksikan pertukaran dulang hantaran berupa kelengkapan sukan termasuklah busur dan anak panah dengan pihak lelaki membawa lima dulang, manakala pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang.
Shiqin tampil anggun mengenakan jubah moden berwarna putih, lengkap dengan jambangan bunga tulip yang menyerlahkan penampilan pengantin perempuan.
Untuk rekod, Shiqin dan Mika berkenalan selama lebih setahun dan mengikat tali pertunangan pada 29 Ogos 2026.
Tarikh majlis akad nikah iaitu 25 November juga dipilih sebagai simbolik tarikh hari lahir Shiqin.
Kedua-dua mempelai akan diraikan dalam satu majlis resepsi yang akan berlangsung pada 29 November depan.
Mac lalu, Shiqin menunaikan umrah dengan niat khusus untuk berdoa agar dipertemukan jodoh dalam masa terdekat.
#kw pelakon, Shiqin Kamal. Mika Irfan, akad nikah, Kuala Lumpur, sekali lafaz, abpbh38, KitalahBintang, Daia, BH – BH Online –
IMedikelTV






