Home Buletin Semasa BOT LAJU BAWA SYABU BERNILAI RM5.19 JUTA TUMPAS

BOT LAJU BAWA SYABU BERNILAI RM5.19 JUTA TUMPAS

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Cubaan sindiket menyeludup 103.798 kilogram (kg) syabu bernilai RM5.19 juta ke negara jiran melalui laluan laut gagal selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang menahan empat lelaki termasuk seorang perancang utama kegiatan itu.

Kesemua suspek termasuk tiga warga Indonesia berusia antara 31 hingga 36 tahun ditahan menerusi Op Taring Gelora dalam dua serbuan berasingan di perairan Pulau Sayak, Tanjong Dawai dan Sungai Petani, Kedah pada 14 November lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu hasil risikan anggota PPM Wilayah Satu dengan kerjasama Unit Risikan Marin yang mengesan sebuah bot fiber mencurigakan ketika rondaan di perairan Tanjong Dawai.

Menurutnya, bot terbabit dikesan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Sayak sebelum cuba meloloskan diri dengan dipandu laju serta melakukan beberapa gerakan berbahaya.

“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan dua lelaki warga Indonesia sebelum anggota menemukan lima guni putih yang mengandungi 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel VIP 666 disyaki berisi dadah.

“Keseluruhan dadah yang dirampas seberat 103.798kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM5.189 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Satu, Batu Uban, di sini, hari ini.

 Hadir sama, Komander PPM, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim dan Komander Biro Jenayah Hidupan Liar,Perisikan Siasatan Khas, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashare.

Mohd Yusri berkata, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek termasuk seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Layang Hujong, Sungai Petani.

Katanya, suspek tempatan yang bekerja sendiri dan mengusahakan kedai runcit dipercayai bertindak sebagai perancang utama dengan menyelaras penghantaran dadah terbabit, manakala tiga warga Indonesia berperanan sebagai pengangkut atau transporter laut.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga warga Indonesia itu mempunyai pasport sah, namun dipercayai memasuki negara ini menggunakan laluan laut,” katanya.

 Difahamkan, dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari dalam negara sebelum dihantar untuk diedarkan ke Aceh, Indonesia.

Mohd Yusri berkata, suspek yang bertindak sebagai tekong dipercayai menerima bayaran sekitar RM12,000 bagi setiap perjalanan, manakala awak-awak menerima kira-kira RM10,000.

“Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu digunakan oleh 518,990 penagih.

“Selain dadah, polis turut menyita sebuah bot gentian kaca dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM5.36 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here