Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Semangat kerjasama penduduk setempat dan agensi kerajaan dapat dilihat pada Program Gotong-Royong Bersepadu membersih kawasan penempatan Setali, di sini kelmarin.
Tumpuan utama program berkenaan dengan membersih kawasan persekitaran selain mengenal pasti dan menghapuskan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang, berkata tumpuan turut membabitkan aktiviti mengumpul bekas dan botol yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, program gotong-royong bersepadu kali ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora Sdn Bhd serta komuniti setempat.
Menurutnya, program kali pertama diadakan itu susulan terdapat dua kes kejadian demam denggi yang dilaporkan berlaku di kawasan penempatan Setali sebelum ini.
“Mencegah wabak demam denggi bukan tanggungjawab satu atau dua pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
“Saya menyeru semua penduduk agar meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di sekitar rumah masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, hujan yang berlaku ketika program tidak mematahkan semangat semua pihak untuk terus menjalankan aktiviti dalam memastikan usaha pencegahan wabak demam denggi dapat dilakukan dengan berkesan.
Chun Kuang berkata, jangan tunggu sehingga ada kes denggi berlaku, mula tindakan dilakukan. Kesihatan dan keselamatan komuniti bermula daripada persekitaran kita sendiri.
“Ruangkan sedikit masa hujung minggu untuk membersih kawasan rumah, pastikan bekas dan botol yang menakung air dikumpul dan dibuang ke tempat pembuangan sampah.
“Sekiranya terdapat kes penduduk mengalami demam segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan yang mampu mencegah daripada menjadi lebih serius,” katanya.
IMedikel TV






