Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung Temangan Lama, Jalan Temangan Lama-Kuala Hau, di sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.53 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Ahmad Syauqi Hafiq Che Darus dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, BBP Sungai Durian serta sebuah lori tangki air dari BBP Tanah Merah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba dari BBP Machang tiba di lokasi pada jam 5.16 pagi, dengan jarak perjalanan kira-kira 16.2 kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 60 x 50 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata operasi memadam kebakaran melibatkan seramai 15 anggota daripada tiga balai bomba, dengan kekuatan sebuah jentera FRT, sebuah LFRT dan sebuah lori tangki air.
Sementara itu, ketika dihubungi IMedikel TV, pihak bomba memaklumkan pegawai penyiasat dari Zon 2 Machang akan ke lokasi bagi menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran.
IMedikel TV






