Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Penjara Negeri Pahang mengadakan Program Bersama Majikan Latihan Pintar Korporat (CSI) dan Intervensi Orang Bebas Berlesen (OBB) di Pulau Tioman, di sini kelmarin.
Program dengan kerjasama Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pekan turut disertai anggota Penjara Penor, Penjara Bentong dan Pejabat Pengarah Penjara Negeri Pahang.
Program dua hari itu disertai Pengarah Penjara Negeri Pahang, Timbalan Komisioner Penjara Suhaizak Ab Wahab.
Hadir sama Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Rizal Ghazali.
Suhaizak berkata, program diadakan antara inisiatif dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara Jabatan Penjara Malaysia dengan pihak majikan serta komuniti setempat.

Ia turut menyokong usaha pemulihan dan bimbingan serta integrasi semula OBB ke dalam masyarakat seterusnya membina masa depan baharu yang lebih terjamin daripada kisah hitam sebelum ini.
Katanya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam memperluaskan jaringan kerjasama bersama majikan dan komuniti bagi membuka lebih banyak peluang kepada OBB untuk membina kehidupan baharu dan terjamin.
“Disamping itu dapat memastikan proses pemulihan dan reintegrasi sosial dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mencapai matlamat yang diharapkan.
“Kumpulan OBB yang berpeluang bekerja dalam pelbagai sektor mampu bebas dan tidak mengulangi kesalahan lalu yang menyebabkan mereka menerima hukuman penjara,” katanya.
Beliau berkata, peluang pekerjaan yang diberikan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh OBB bagi membina kehidupan lebih baik selain memastikan mereka mematuhi semua syarat ditetapkan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Suhaizak berkata, seramai 403 OBB dari Penjara Penor dan Penjara Bentong diberi peluang membina kehidupan baharu menerusi penempatan pekerjaan bersama 73 majikan dalam pelbagai sektor di empat daerah di Pahang tahun ini.
Daripada jumlah itu, Kuantan mencatatkan bilangan tertinggi dengan 160 OBB ditempatkan bersama 22 majikan, diikuti Temerloh melibatkan 99 OBB dengan 23 majikan.
Jerantut pula merekodkan 80 OBB bersama 13 majikan, manakala Pekan mencatatkan 64 OBB dengan 15 majikan.
“Saya berharap OBB dapat kembali ke pangkal jalan, insaf dan tidak mengulangi kesilapan lalu.
“Bagi bekas penagih, jangan cuba menghampiri kumpulan penagih kerana ia boleh mendorong mereka kembali terbabit dalam aktiviti sama yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Banyak kes membabitkan golongan penagih yang kembali mengulangi perbuatan lalu dan pada masa sama turut terbabit dengan kesalahan lain seperti mencuri,” katanya.
IMedikel TV






