Home Sukan MESSI KELUAR AWAL,MIAMI BENAM TORONTO

MESSI KELUAR AWAL,MIAMI BENAM TORONTO

224
0

FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Inter Miami melupakan sementara kebimbangan kecederaan bintang utama Lionel Messi sebelum membenam Toronto FC 4-0 dengan Robert Taylor meledak dua gol sekali gus menguatkan impian mereka layak ke playoff Major League Soccer musim ini.

Messi kembali dalam kesebelasan utama sesudah tidak beraksi ketika kalah 5-2 di Atlanta hujung minggu lalu kerana kecederaan otot namun dia meninggalkan padang pada minit ke-38 dan kelihatan tidak selesa.

Bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Jordi Alba dari Sepanyol yang juga tidak berkunjung ke Atlanta, turut dikeluarkan tiga minit sebelum itu.

“Mereka terpaksa dikeluarkan, kami akan menilai mereka dalam beberapa hari ini,” kata jurulatih Miami, Gerardo Martino kepada penyiar Apple TV ketika rehat.

Di sebalik tamparan kehilangan bintang mereka yang juga pemain paling berpengaruh dalam pasukan, Miami mudah membenam kelab tangga tercorot Eastern Conference itu.

-Memetik laporan dari agensi berita harian-

Penyerang Inter Miami, Lionel Messi (tengah) menyerahkan lilitan lengan kapten kepada pemain pertahanan DeAndre Yedlin apabila dia terpaksa dikeluarkan pada babak pertama menentang Toronto FC di Stadium DRV PNK, Fort Lauderdale. – Foto REUTERS

Facundo Farias membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama dengan voli mengagumkan selepas penjaga gol Toronto, Tomas Romero menumbuk lemah hantaran silang Noah Allen.

Pemain gantian Taylor menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-54 dengan jaringan individu memukau, menggelecek dalam kotak penalti dari kiri sebelum merembat kencang ke penjuru bawah gol lawan.

Taylor kemudian menjadi pengumpan, melorongkan bola kepada seorang lagi pemain gantian Benjamin Cremaschi yang menyepak masuk melepasi kelangkang Romero untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Pemain antarabangsa Finland, Taylor melengkapkan persembahan mantapnya dengan gol keempat, menyambut hantaran lambung Farias sebelum merembat padu dari jarak dekat.

Miami, yang akan bertandang ke Orlando Ahad ini, melonjak ke tangga ke-13 Eastern Conferfence dan kini hanya lima mata di belakang DC United kendalian Wayne Rooney yang menghuni tangga kesembilan, kedudukan terakhir ke playoff. – AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here