Home Sukan ARSENAL PINCANG MENJELANG AKSI LILLE

ARSENAL PINCANG MENJELANG AKSI LILLE

LONDON: Arsenal berdepan tamparan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Lille apabila Piero Hincapie dan Martin Zubimendi mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihan tambahan selepas kemenangan 2-1 ke atas Leeds United, Sabtu lalu.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pengendali Arsenal, Mikel Arteta, mengakui kejadian itu sesuatu yang luar biasa sepanjang tujuh tahun dirinya mengendalikan kelab berkenaan.

Kedua-dua pemain kini diragui untuk diturunkan dalam pertembungan menentang Lille awal pagi esok, sementara menunggu keputusan pemeriksaan lanjut bagi menentukan tahap kecederaan masing-masing.

Hincapie, 24, dimasukkan pada minit ke-82 ketika Arsenal menewaskan Leeds, manakala Zubimendi, 27, tidak diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

Arteta berkata, kecederaan itu berlaku ketika sesi latihan tambahan yang diatur khusus untuk pemain yang tidak mendapat minit permainan mencukupi dalam aksi menentang Leeds. 

“Sepanjang tujuh tahun saya di sini, perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Ia boleh berlaku dalam sesi latihan pada keesokan harinya.

“Namun, ia berlaku sekarang dan saya berharap ia tidak berulang. Apa yang boleh kita lakukan?,” katanya.

Menurut pengendali dari Sepanyol itu, kedua-dua pemain mengalami kecederaan dalam dua insiden berasingan ketika menjalani latihan berkenaan.

“Kami sudah merancang sesi latihan selepas perlawanan untuk semua pemain yang tidak mendapat minit permainan mencukupi dan dalam dua insiden yang malang, kami kehilangan dua pemain.

“Mereka akan menjalani pemeriksaan imbasan lanjut untuk mengetahui tahap kecederaan sebelum kami dapat menentukan tempoh mereka perlu diketepikan,” katanya.

Arteta turut mempertahankan keputusan mengadakan latihan tambahan bagi memastikan pemain yang kurang beraksi kekal cergas dan bersedia apabila diperlukan.

“Jika mereka tidak pernah berlatih, mereka tidak akan cedera. Namun, kesannya ialah apabila anda meminta mereka bermain, mereka tidak mempunyai rentak permainan dan sukar memberikan impak kepada pasukan,” katanya.

Hincapie sudah membuat tiga penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, semuanya sebagai pemain gantian, selain diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Arsenal menewaskan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara bulan lalu.

Zubimendi pula lebih banyak beraksi sebagai pemain gantian, dengan membuat lima penampilan dari bangku simpanan dalam saingan liga musim ini. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here