Home Buletin Semasa 630 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS MEGA DI TAPAK PEMBINAAN KULIM

630 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS MEGA DI TAPAK PEMBINAAN KULIM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KULIM: Seramai 630 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops MEGA di sebuah tapak pembinaan berskala besar di Padang Meha, di sini, semalam.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada 622 lelaki dan lapan perempuan berusia antara 18 hingga 50 tahun hasil pemeriksaan terhadap 697 warga asing dan rakyat Malaysia dalam operasi kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat dan risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bersama JIM Negeri Kedah.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 159 pegawai imigresen daripada pelbagai bahagian dan negeri, termasuk Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) serta JIM Kedah, Perlis, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Daripada jumlah tangkapan, warga China mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 396 orang, diikuti Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua), New Zealand (seorang) dan Senegal (seorang).

“Tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan imigresen mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak enam saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan sepanjang operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi di kawasan pembinaan seluas hampir 500,000 meter persegi itu berdepan pelbagai cabaran apabila sebahagian orang kena tangkap (OKT) dipercayai cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan berisiko tinggi, termasuk menaiki bumbung bangunan yang masih belum siap.

“Tindakan provokasi oleh sekumpulan OKT terhadap pegawai JIM turut mencetuskan ketegangan, sekali gus memerlukan anggota operasi bertindak pantas bagi mengawal keadaan.

“Operasi berkenaan juga berdepan risiko keselamatan dan logistik berikutan hujan lebat yang menyebabkan permukaan licin, kawasan bertakung serta laluan berlumpur,” katanya.

Jelasnya keadaan tapak pembinaan yang masih belum siap, termasuk kewujudan lubang lif, besi tetulang terdedah, bahan binaan berselerakan, pergerakan jentera berat dan kerja di tempat tinggi, turut meningkatkan risiko kepada anggota yang terlibat.

Sehubungan itu, JIM mengingatkan majikan, kontraktor utama dan subkontraktor supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja memiliki dokumen perjalanan serta pas atau permit yang sah, selain mematuhi semua syarat imigresen yang ditetapkan.

JIM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here