Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan tarik tali Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menepati ramalan apabila muncul juara acara tarik tali Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang, di sini kelmarin.
Naib johan milik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) diikuti tempat ketiga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keempat Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Dalam kategori majlis belia, Majlis Belia Daerah Bentong muncul juara, diikuti naib juara, Majlis Belia Daerah Maran dan ketiga Majlis Belia Daerah Kuantan.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal.
Hadir sama Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim.
Fadzli berkata, penganjuran Hari Sukan Negara peringkat Pahang kali ini dikendalikan sepenuhnya JBPM Pahang membabitkan acara utama tarik tali dan Strongest Man Challenge.
Katanya, acara yang menguji kekuatan fizikal dan mental itu mencetuskan keterujaan peserta serta pengunjung. Setiap peserta perlu memiliki ketahanan diri, disiplin serta semangat berpasukan.
“Penganjuran Hari Sukan Negara bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi, memperkukuh perpaduan dan memupuk budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
“Tahniah kepada pemenang dan peserta yang mengambil bahagian, kemenangan yang diraih membuktikan bahawa semangat berpasukan, disiplin dan kesungguhan merupakan kunci untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Razam berkata, sambutan terhadap acara tarik tali dan Strongest Man Challenge begitu menggalakkan, kesungguhan peserta yang mengambil bahagian dapat dilihat walaupun mereka cetek pengalaman.

“Acara yang menguji kekuatan fizikal, mental dan semangat berpasukan itu perlu terus diperkenalkan disemua peringkat dalam usaha melahirkan generasi yang cergas,” katanya.
IMedikel TV






