Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Polis menahan seorang wanita disyaki terbabit dalam kes penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis di Karak, di sini, kelmarin.
Penahanan wanita terbabit dilakukan selepas seorang remaja lelaki penuntut universiti membuat laporan ditipu suspek RM32,115 selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong Deputi Superintendan Azmi Mahmood berkata, mangsa yang menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 7 Oktober lalu diugut kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan akan ditahan jika gagal mematuhi arahan diberikan.
Katanya, mangsa kemudiannya diarahkan mengambil wang tunai serta barang kemas milik ibu bapanya bagi tujuan kononnya menyelesaikan kes berkenaan.
Menurutnya, disebabkan terlalu takut dengan ugutan berkenaan, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM6,115 bersama barang kemas dianggarkan bernilai RM26,000 kepada seorang wanita yang memakai pelitup muka berhampiran sebuah pasar raya di Karak.
“Mangsa turut diarahkan supaya merahsiakan perkara berkenaan daripada pengetahuan ahli keluarganya mahupun individu lain.
“Kejadian hanya terbongkar selepas mangsa merasakan dia tertipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Karak Sabtu lalu, berhubung kerugian keseluruhan RM32,115,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan tindakan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Bentong membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun pada 6.20 petang Sabtu lalu di kawasan berhampiran pasar raya berkenaan.
Azmi berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai ditawarkan pekerjaan oleh sindiket penipuan dengan mendakwa dirinya dilantik sebagai anggota ‘Unit Tindak Khas Polis’.
“Suspek diarahkan mengambil wang tunai dan barang kemas daripada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ketiga yang diatur sindiket,” katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terbabit.
“Saya berharap orang ramai berwaspada terhadap tawaran pekerjaan yang menyalahgunakan nama polis bagi mengarahkan pemindahan wang atau barangan berharga milik individu lain.
“Ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memberi pendedahan dan ingatan kepada anak mereka khususnya golongan penuntut supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik penyamaran sebagai pegawai penguat kuasa yang menggunakan ugutan tangkapan dan arahan merahsiakan apa yang berlaku,” katanya.
IMedikel TV






