PARIS: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan selepas menembak guru besar dan seorang guru menggunakan senapang memburu di sebuah sekolah menengah rendah di bandar Aubagne, selatan Perancis, berhampiran Marseille, semalam.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, polis berkata, kejadian berlaku di Sekolah Joseph-Lakanal dengan individu ketiga turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena tembakan.
Pihak berkuasa berkata, guru besar dan guru itu tidak berada dalam keadaan kritikal.
Ketua pentadbiran wilayah Bouches-du-Rhone, Jacques Witkowski berkata, motif suspek melepaskan tembakan masih dalam siasatan.
“Suspek melepaskan tembakan ke arah guru besar, menyebabkan mangsa terkena taburan peluru kecil pada bahagian paha dan belakang pinggang.
“Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah seorang lagi guru di pada bahagian paha, sebelum seorang kakitangan sekolah berjaya melucutkan senjatanya,” katanya dilapor Euronews.
Witkowski berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau kecenderungan terhadap fahaman ekstrem.
Kejadian itu juga dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan demonstrasi pelajar sekolah menengah atas yang berlangsung di Perancis sejak beberapa minggu lalu.
Dalam pada itu, polis yang dilapor AFP memaklumkan sekolah menengah rendah itu tidak terlibat dengan demonstrasi oleh pelajar sekolah menengah atas.
Pejabat pendakwa raya Marseille mengesahkan penahanan suspek, namun tidak memberikan butiran lanjut. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






