KUALA LUMPUR: Pelakon Idan Aedan mengambil tindakan undang-undang selepas mendakwa menerima beberapa ugutan bunuh menerusi ruangan komen media sosial susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan dakwaan mengganggu hubungan pasangan lain.
Memetik laporan Berita Harian, pelakon utama filem seram terbaharu, Kacau, itu berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan mendapatkan khidmat peguam bagi menangani perkara berkenaan.
Idan berkata, walaupun menerima pelbagai komen berbaur kecaman selepas isu itu tular, beliau memilih untuk tidak melayan dakwaan berkenaan kerana yakin keluarga mengetahui perkara sebenar.
“Selepas isu itu tular, saya terima banyak komen, tetapi saya malas nak layan kerana saya tak bersalah, malah keluarga juga tahu apa yang berlaku.
“Sejujurnya, saya menerima banyak komen melampau, salah satunya ugutan bunuh. Itu sebabnya kes ini perlu membabitkan peguam.
“Kalau tidak, saya tak kisah pun. Saya pun taklah sampai rasa terancam hingga kena pasang pengawal peribadi.
“Saya berserah semuanya kepada Tuhan. Kalau benda nak jadi, jadilah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran poster dan treler filem di TGV, Suria KLCC, di sini, malam tadi.
Menurut Idan, kes berkenaan kini berada pada fasa akhir, namun beliau tidak memperincikan perkembangan lanjut prosiding berkenaan.
Mengulas lanjut, Idan berkata, beliau tidak mengenali individu yang meninggalkan komen berbaur ugutan itu kerana kebanyakannya menggunakan akaun media sosial yang tidak dikenalinya.
“Komen itu dibuat oleh akaun rawak dan pelbagai orang.
“Ada sesetengah komen menggunakan dialek lain hingga saya terpaksa bertanya kepada rakan pelakon yang berasal dari Sabah mengenai maksudnya,” katanya.
Dalam pada itu, Idan berkata, beliau tidak terlalu bimbang kontroversi berkenaan menjejaskan reputasi yang dibina sepanjang bergelar anak seni kerana yakin dengan pendirian dirinya dan keluarga.
Katanya, beliau memilih untuk terus memberi tumpuan kepada kerjaya serta berpegang pada prinsip kejujuran dalam kehidupan dan pekerjaan.
“Saya tak takut sebab saya dan keluarga tahu apa yang benar.
“Saya percaya jika kita buat baik dan jujur dengan apa yang dilakukan, kita takkan jatuh.
“Dalam lakonan pun saya sentiasa memberikan 100 peratus kejujuran, dan saya rasa itulah yang membawa saya ke tahap saya berada sekarang,” katanya.
Terdahulu, Idan dikaitkan dengan dakwaan memasuki sebuah hotel bersama seorang wanita yang dikatakan sudah bertunang, selepas rakaman yang didakwa menunjukkan pergerakan mereka keluar masuk premis berkenaan tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, Idan menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan hubungannya dengan wanita itu tidak lebih daripada hubungan rakan sekerja. – BH Online –
IMedikel TV






