Home Sukan ‘MEREKA AKAN KEJAR KAMI, TAPI SEKARANG JADI KAWAN BAIK’

‘MEREKA AKAN KEJAR KAMI, TAPI SEKARANG JADI KAWAN BAIK’

399
0

KUALA LUMPUR: “Mereka akan kejar kami, kejar TMJ (Tunku Mahkota Ismail)…mereka akan kejar saya kerana jurulatih yang teruk.”

Demikian reaksi pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang mengakui kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam menyebabkan mulut segelintir pengkritik berjaya ditutup rapat sekali gus melegakan pengurusan pasukan.

Memetik laporan Harian Metro, katanya, kejayaan menggenggam tiga mata maksimum selain menamatkan badi kekalahan 11 tahun di tangan skuad Naga Emas itu bukan mudah apabila terdapat pelbagai isu dalaman termasuk politik dan halangan tertentu yang tidak senang dengan revolusi ke atas skuad Harimau Malaya.

Lantas, Cklamovski berharap semua pihak dapat bersatu dalam usaha membawa pasukan ke tahap tertinggi di pentas antarabangsa.

“Jika kami tidak menang malam ini (malam tadi), ia akan berubah. Mereka akan kejar kami, kejar TMJ (Tunku Mahkota Ismail), mereka akan kejar saya kerana jurulatih yang teruk.

“Mereka akan kejar pemain, semuanya kerana keputusan perlawanan. Tetapi sekarang mereka akan jadi kawan baik, mereka akan berada di sebelah saya. Namun, ia bagus kerana kita bersatu sebagai sebuah negara.

“Saya mahu setiap orang, setiap penyokong untuk berada di belakang pemain dan mereka berhak mendapatnya. Semua peminat bola sepak Malaysia harus bersatu untuk membawa negara ini ke depan,” katanya selepas aksi itu.

Terdahulu, perubahan besar yang dilakukan dalam struktur skuad kebangsaan dipandang serong segelintir pihak termasuk usaha membawa masuk lima tonggak warisan baharu Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca yang dituduh di bawa masuk secara tidak sah.

Namun segalanya terungkai apabila Fifa mengesahkan memberi kelulusan ke atas lima pemain berkenaan untuk beraksi bersama Malaysia, sekali gus menamatkan spekulasi tentang keabsahan susur galur tonggak itu.

Dalam pada itu, Cklamovski mengakui berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan semua pemain selain amat teruja dengan sokongan padu yang diberikan seluruh penyokong di gelanggang keramat Harimau Malaya.

“Amat menakjubkan, terima kasih kepada semua penyokong yang hadir memenuhi stadium dan menjadikan perkara istimewa kepada pemain, tanpa mereka, bola sepak tidak bermakna.

“Pemain bekerja keras bersama untuk membanggakan Malaysia dan ia budaya yang indah dalam bola sepak Malaysia. Saya lihat semangat dan sokongan, setiap orang bersorak,” katanya.

Hasil kemenangan kedua itu, skuad Harimau Malaya kini di tangga pertama Kumpulan F dengan enam mata selepas mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Asia 2027 setakat ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here