Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: “Saya sangat terkilan kerana tidak sempat bagi Adib makan buah jambu batu yang dia inginkan,” demikian luahan penuh pilu Halim Sidik, 58, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, 21, mangsa kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu.
Menurut Halim, arwah Adib, anak keenam daripada tujuh beradik, pernah meminta buah jambu itu untuk dibawa ke tempat pengajiannya untuk dikongsi bersama rakan-rakan.
“Tetapi masa itu saya cakap jambu itu hendak bagi orang lain dulu. Saya cakap dekat dia, ‘nanti lain kali Adik balik, Adik makanlah.’
“Bagaimanapun tiada perkara aneh berlaku pada Adib sepanjang dia pulang beraya bersama saya,” katanya sayu ketika ditemui di Kampung Pangkalan China, di sini.

Katanya Adib sangat menghormati orang tua bahkan tidak lekang daripada mulutnya meminta maaf dan bersalaman dengan ibu bapa.
Bercerita mengenai arwah, pada hari yang sama Halim sempat meluangkan masa bersama arwah anaknya di petang hari sebelum anaknya berangkat ke Jerteh, Terengganu untuk menaiki bas.
“Dia datang ke rumah saya jam 12 tengah hari, saya sempat ke kenduri sepupu bersama Adib dan petangnya mereka pulang ke Terengganu dengan malam hari pula Adib menaiki bas untuk kembali ke UPSI.
“Adib ini seorang yang pendiam, sekiranya ada masalah apa-apa dia tidak bercerita namun saya bangga dengannya kerana dia sangat menjaga solatnya, setiap kali masuk waktu, dia akan terus pergi solat dan pada waktu malam, dia selalu membaca Al-Quran,” katanya.

Turut hadir menziarah keluarga, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim yang menyerahkan sumbangan sebanyak RM500 bagi mewakili Kerajaan Negeri.
“Kita menyampaikan salam takziah daripada Kerajaan Negeri Kelantan kepada ayah arwah Adib atas kehilangan anaknya yang keenam.
“Segala-galanya adalah takdir dan ayahanda bonda yang berada di Besut sabar dan tabah sebab dimaklumkan arwah adalah anak yang cemerlang dari segi akademik dan akhlak agama ini adalah merupakan aset dan saham untuk ayah dan ibunya di Akhirat,” katanya.
IMedikel TV






