Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas makanan sejuk beku dan barang runcit di Pengkalan Haram Stor Kayu Kampung, di sini, pada Selasa.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu Batalion (BN) 9 PGA menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dalam Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 603kilogram (kg) makanan sejuk beku, 240kg ayam sejuk beku dan beberapa barang runcit ditemui dalam kenderaan tersebut dan disyaki diseludup masuk dari Thailand melalui pengkalan haram.
“Pemandu seorang wanita berumur 48 tahun turut ditahan kerana dipercayai menjadi penghantar barang tersebut ke pasaran tempatan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggaran rampasan bernilai RM62,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Katanya suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Manakala dalam kejadian berasingan, BN 9 PGA menumpaskan kegiatan penyeludupan makanan Thailand apabila menemui beberapa bungkusan makanan di Pengkalan Haram Pohon Jambu, di Rantau Panjang, pada Selasa.
Nik Ros Azhan berkata rampasan itu dilakukan dalam Op Taring Wawasan pada jam 4.00 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 90 paket pelbagai jenis sosej Thailand anggaran nilai RM2,250 di temui di tepi sungai tersebut dan disyaki diseludup masuk dari Thailand.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan dibawa ke Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,”katanya.
IMedikel TV






