Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: : Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memiliki senjata api dan 47 peluru tanpa permit atau lesen yang sah pada Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Zamri Mustafa, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon bicara selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Glock 19 tanpa permit atau lesen yang sah di sebuah rumah di Jalan Meranti, di sini, pada jam 8.30 malam, 29 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 47 butir peluru hidup pelbagai jenis antaranya 20 butir jenis A USA 9mm Luger, masing-masing sebutir FC 9mm Luger, PMC 9mm Luger dan S3 9mm Luger selain dua butir AP 14 9mm Luger pada masa dan lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh berdepan tuduhan membabitkan kes senjata api yang merupakan kesalahan serius.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
IMedikel TV






