MYANMAR: Menteri Luar China, Qin gang dan ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing, buat julung kali mengadakan pertemuan di Naypidaw semalam, selepas rampasan kuasa lebih dua tahun lalu.
Rakaman media kerajaan Myanmar menunjukkan gang disambut Aung Hlaing di bilik mesyuarat.
Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama berkata, Gang turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Myanmar yang baharu dilantik serta menteri kerjasama antarabangsa.
Sementara itu, unit komunikasi Junta dalam kenyataan berkata, Gang menyatakan pendirian China akan ‘Bersama Myanmar di pentas antarabangsa’.
Katanya, kedua-dua pihak membincangkan ‘Hubungan Diplomatik dan Persahabatan, keadaan semasa di myanmar, perdagangan rentas sempadan serta kerjasama tenaga dan elektrik’.
Kenyataan itu antara lain menjelaskan, gang dijadual melawat Myanmar sehingga esok.
Gang dalam kenyataan kementerian luar china pula berkata, republik itu mendukung pendirian masyarakat antarabangsa yang menghormati kedaulatan Myanmar dan memainkan peranan membantu meraih keamanan.
Katanya, China akan terus menyokong ‘Pembangunan Myanmar, selain mempercepat kerjasama utama di koridor ekonomi China-Myanmar serta melaksanakan projek pertanian, pendidikan dan kesihatan.

Siri keganasan di myanmar tercetus sejak penggulingan kerajaan diterajui Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.
Beijing juga dikatakan menyokong dan membekalkan senjata kepada beberapa kumpulan pemberontak di sempadan negara itu dengan Myanmar, yang bertindak menyerang Junta Tentera Myanmar selepas rampasan kuasa.
Sehubungan itu, kumpulan pemberontak terbabit meminta bantuan Beijing untuk meredakan keadaan di sempadan menerusi rundingan dengan Junta tentera Myanmar.
Semalam, Gang melawat sempadan China-Myanmar dan menggesa pelan damai segera dicapai berteraskan ‘Persahabatan dan Kerjasama’ antara kedua-dua negara.
Junta tentera Myanmar melihat china sebagai rakan baik yang mengekalkan persahabatan sepanjang krisis rampasan kuasa, apabila kebanyakan negara serantau dan barat mengutuk serta meminggirkan Myanmar.
Namun, china kekal sebagai sekutu utama dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengutuk rampasan kuasa itu.
Bekas menteri luar china, Wang Yi sebelum ini, mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya dari Myanmar pada julai 2022.
Beberapa projek infrastruktur disokong Beijing dijadual dilaksanakan di utara Myanmar dan menghubungkan wilayah Yunnan, China dengan lautan hindi.
Sumber: BH Online & AFP
Imedikel TV






