Home Luar Negara MENARA JEDDAH CECAH TINGKAT 80, BAKAL ATASI BURJ KHALIFA

MENARA JEDDAH CECAH TINGKAT 80, BAKAL ATASI BURJ KHALIFA

JEDDAH: Pembinaan Menara Jeddah kini memecut laju dengan sasaran mencapai tingkat ke-80 tidak lama lagi, lapor Gulf News.

Memetik laporan Agens menerusi Harian Metro. menara setinggi satu kilometer (km) yang pernah terhenti pembinaannya selama beberapa tahun itu dilaporkan sudah disambung semula sejak Januari 2025.

Projek berkenaan kini mampu menyiapkan satu tingkat setiap tiga hingga empat hari bagi mengejar sasaran siap pada 2028 untuk merampas gelaran bangunan tertinggi dunia.

Menara Jeddah yang sebelum ini dikenali sebagai Kingdom Tower adalah salah satu daripada dua pencakar langit yang sedang dibina untuk menjadi lebih tinggi daripada Burj Khalifa.

Kren gergasi kini memenuhi ruang udara Jeddah apabila syarikat pembinaan Saudi Binladin Group, Dar Al-Handasah dan Turner Construction mula melaksanakan kerja-kerja struktur.

Kumpulan kontraktor menggunakan teknologi pam tekanan tinggi bagi melakukan kerja tuangan konkrit untuk mencapai ketinggian baharu bangunan berkenaan.

Menjelang Ogos lalu, bangunan itu sudah mencapai 75 tingkat dengan lebih 50 peratus kerja tuangan konkrit daripada keseluruhan 157 tingkat berjaya disiapkan.

Walaupun projek itu sebelum ini terhenti akibat beberapa kontroversi dan pandemik, pemaju mengumumkan kerja binaan kini berjalan secara aktif.

Asas bangunan menggunakan sistem rakit cerucuk hibrid yang besar, menampilkan pad konkrit setebal lima meter di atas kawasan seluas 7,500 meter (m) persegi.

Ia turut dikukuhkan dengan 270 cerucuk terjara (bored pile) yang menjangkau sehingga 110 m ke dalam batu kapur dan batu karang bagi menjamin kestabilan struktur.

Sebagai perbandingan, asas Burj Khalifa mempunyai pelapik konkrit setebal 3.7 m di atas 192 cerucuk terjara dengan kedalaman kira-kira 50 m.

Selain Menara Jeddah, Arab Saudi turut merancang satu lagi projek menara iaitu The Rise Tower di Riyadh yang disasarkan menjadi pencakar langit pertama setinggi dua km.

Langkah ini menunjukkan cita-cita besar Arab Saudi dalam membina struktur futuristik yang bakal mengubah landskap seni bina dunia di wilayah berkenaan. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here