GUATEMALA: Sekurang-kurangnya 12 mayat ditemui dalam tempoh tiga hari di kawasan hutan di pinggir bandaraya Guatemala.
Memetik laporan AFP menerusi Beri pihak berkuasa percaya pembunuhan terbabit mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan kumpulan penjenayah atau kartel dadah.
Mayat-mayat itu dibuang di kawasan yang sering digunakan oleh penjenayah untuk melupuskan mangsa mereka, menurut laporan bomba dan media tempatan.
Menurut jurucakap bomba, Hans Lemus, dua mayat ditemui pada Jumaat, tiga mayat dan satu kerangka manusia pada Sabtu, serta enam lagi mayat pada Ahad dengan bantuan anjing pengesan.
Semuanya ditemui dibalut dengan kain atau plastik.
Kementerian Dalam Negeri berkata, pembunuhan berkenaan mungkin berpunca daripada pertelingkahan kumpulan penjenayah untuk menguasai kawasan.
Guatemala sering menghadapi masalah keganasan jenayah yang serius, terutamanya kumpulan Barrio 18 dan Mara Salvatrucha (MS-13).
Kedua-dua kumpulan jenayah itu dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Guatemala dan Amerika Syarikat (AS).
Pada Oktober lalu, sembilan mayat ditemui di bawah jambatan di bandar Palencia, berhampiran ibu kota. Hampir separuh keganasan di negara itu dikaitkan dengan penyeludupan dadah dan penjenayah yang memeras wang perniagaan.
Tahun lalu, Guatemala mencatat kadar pembunuhan nisbah 16.1 bagi setiap 100,000 penduduk iaitu lebih dua kali ganda purata global. – AFP, BH Online –
IMedike TV






