Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Dedikasi selama hampir 58 tahun dalam memelihara dan melestarikan seni persembahan tradisional Mak Yong dan Wayang Kulit Kelantan melayakkan Adiguru Seni Persembahan Tradisional Universiti Sains Malaysia (USM), Che Mat Jusoh, 72, menerima pengiktirafan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) 2026.
Pengiktirafan tertinggi negara dalam bidang warisan itu dianugerahkan oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar Che Mat dalam memastikan kelangsungan seni persembahan tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti dan khazanah budaya negara.

Penganugerahan berkenaan disampaikan sempena Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6 di MOTAC, yang turut menyaksikan sebanyak 39 warisan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan, baru-baru ini.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni warisan, Che Mat bukan sahaja berperanan sebagai penggiat dan pengamal seni tradisional, malah menjadi antara penyimpan penting ilmu, kemahiran serta repertoir muzik tradisional yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Che Mat berkata, anugerah berprestij yang diterimanya bukan sekadar kejayaan peribadi, malah merupakan pengiktirafan terhadap usaha memartabatkan warisan yang perlu dipertahankan.
“Sudah pastinya saya amat gembira kerana segala usaha dan komitmen yang saya curahkan selama ini dalam memelihara seni tradisional akhirnya mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan USM, hari ini.
Jelas Che Mat, beliau antara individu yang masih mampu memainkan lagu-lagu Mak Yong lama yang semakin hilang ditelan zaman, selain berbangga kerana kini sudah ada generasi pelapis yang menunjukkan minat untuk mempelajarinya.
“Namun, ilmu seni tradisi tidak boleh diwariskan secara tergesa-gesa. Ia perlu diajar sedikit demi sedikit, dengan kesabaran dan komitmen, sebagaimana proses yang saya lalui sendiri,” katanya.

Mengulas harapannya terhadap masa depan seni warisan, Che Mat berhasrat memastikan seni dan warisan tradisional terus lestari serta tidak terhenti pada satu generasi sahaja.
“Saya mahu ia terus hidup, berkembang dan diwariskan kepada generasi akan datang. Warisan tidak sepatutnya sekadar menjadi bahan kenangan atau tinggalan sejarah, sebaliknya perlu terus diamalkan dan diperkasakan.
“Saya juga mahu membuka minda generasi muda bahawa seni tradisional bukan hanya terbatas kepada nyanyian, lakonan dan tarian. Bidang penulisan yang berkaitan dengan seni dan budaya tradisional juga perlu diberikan perhatian serius,” katanya.
Tambah beliau, aspek tersebut masih kurang diberikan penekanan dalam kalangan pelapis, sedangkan dokumentasi dan penulisan merupakan antara kaedah penting untuk memastikan ilmu, sejarah dan falsafah warisan tidak hilang ditelan zaman.
Pengiktirafan itu turut mencerminkan kepentingan peranan tokoh seni tradisional dalam memastikan ilmu, kemahiran dan khazanah seni persembahan warisan terus didokumentasikan serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Selain sumbangannya dalam seni persembahan tradisional, Che Mat yang pernah menjadi Karyawan Tamu USM itu turut menghasilkan karya persuratan menerusi penerbitan buku terbaharunya, Hikayat Maharaja Seri Rama, pada tahun ini.
Buku berkenaan diterbitkan oleh Nusa Centre, penerbit yang menerbitkan tiga karya utama Che Mat dengan sokongan Geran MOTAC.
Penerbitan itu juga merupakan antara usaha berterusan dalam memelihara warisan budaya tidak ketara negara.
Buku hasil susunan beliau itu adalah satu usaha penting dalam memelihara dan mendokumentasikan khazanah persuratan Melayu yang telah berkembang dalam lingkungan budaya Nusantara sejak lebih 1,000 tahun lalu.
IMedikel TV






