Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan dakwaan salah laku membabitkan anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di Puncak Erskine, Jalan Fettes, Tanjung Tokong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan video berkenaan pada 6 November selepas ia tular dan menarik perhatian masyarakat.
Beliau berkata, satu laporan polis turut diterima daripada anggota terbabit yang menafikan dakwaan berlaku unsur rasuah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian yang dipaparkan dalam video tular itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selain siasatan jenayah, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta tatatertib anggota polis yang terbabit turut disiasat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan hasil siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
“Saksi, individu yang terbabit dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Pejabat Ketua Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Zahirrudin Ismail di talian 014-3189026,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi lebih dua minit di media sosial yang memaparkan anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa individu di kawasan berkenaan.
Rakaman itu turut memaparkan seorang daripada individu yang diperiksa mengambil sejumlah wang tunai dari kenderaan yang dinaikinya sebelum menyerahkannya kepada salah seorang anggota polis.
Video berkenaan yang dirakam oleh orang awam kemudian tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi serta kecaman daripada warganet.
IMedikel TV






