Home Buletin Semasa 403 PROSPEK PENJARA PAHANG DIBERI PELUANG KERJA, 73 MAJIKAN TAWAR RUANG BINA...

403 PROSPEK PENJARA PAHANG DIBERI PELUANG KERJA, 73 MAJIKAN TAWAR RUANG BINA HIDUP BAHARU

KUANTAN: Seramai 403 Orang Bebas Berlesen (OBB) dari Penjara Penor dan Penjara Bentong diberi peluang membina kehidupan baharu menerusi penempatan pekerjaan bersama 73 majikan dalam pelbagai sektor di empat daerah di Pahang tahun ini.

Daripada jumlah itu, Kuantan mencatatkan bilangan tertinggi dengan 160 OBB ditempatkan bersama 22 majikan, diikuti Temerloh melibatkan 99 OBB dengan 23 majikan.

Jerantut pula merekodkan 80 OBB bersama 13 majikan, manakala Pekan mencatatkan 64 OBB dengan 15 majikan.

Pengarah Penjara Pahang, Timbalan Komisioner Penjara Suhaizak Ab Wahab, berkata peluang pekerjaan yang diberikan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh OBB bagi membina kehidupan lebih baik selain memastikan mereka mematuhi semua syarat ditetapkan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Menurutnya, OBB diwajibkan melapor diri dari semasa ke semasa di Pejabat Parol Daerah bagi memastikan mereka mematuhi syarat pelepasan, dengan tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.

Beliau berharap peluang menjalani kehidupan di luar penjara dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan proses pemulihan dalam komuniti berjalan lancar sebelum mereka kembali menyertai masyarakat.

“Saya berharap OBB dapat kembali ke pangkal jalan, insaf dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Bagi bekas penagih, jangan cuba menghampiri kumpulan penagih kerana ia boleh mendorong mereka kembali terbabit dalam aktiviti sama yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Banyak kes membabitkan golongan penagih yang kembali mengulangi perbuatan lalu dan pada masa sama turut terbabit dengan kesalahan lain seperti mencuri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan MADANI Yakin Kepulangan Dinanti Sempena Deepavali Peringkat Penjara Pahang di Dewan Melati, Penjara Penor, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Rizal Ghazali dan Timbalan Pengarah Penjara Penor, Muhammad Hasnor Abd Hamid.

Pada majlis berkenaan, seramai 15 banduan dari Penjara Bentong dan Penjara Penor dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman.

Dalam pada itu, Suhaizak berkata Jabatan Penjara turut melaksanakan program tahanan rumah bagi banduan yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Antara golongan yang layak dipertimbangkan termasuk warga emas berusia 70 tahun ke atas, wanita hamil, individu yang menghidap penyakit kronik serta orang kurang upaya (OKU).

Katanya, pelaksanaan PBSL bukan sahaja bertujuan membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara, malah memberi peluang kepada banduan menjalani baki hukuman di luar penjara menerusi pemantauan serta program pemulihan dalam komuniti.

Bagi banduan yang menerima peluang pembebasan lebih awal, inisiatif itu diharap menjadi titik permulaan untuk berubah, menyesali kesilapan lalu dan kembali menjalani kehidupan lebih baik.

Kebanyakan banduan yang dibebaskan menerusi program berkenaan sebelum ini terbabit dengan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here