Home Buletin Semasa REMAJA LEMAS, MOTOSIKAL DITUNGGANG TERBABAS JATUH KE SUNGAI.

REMAJA LEMAS, MOTOSIKAL DITUNGGANG TERBABAS JATUH KE SUNGAI.

MERSING : Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan jatuh ke dalam Sungai Jemaluang di Jalan Sekakap di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, maklumat berhubung kemalangan itu diterima pihaknya jam 11.15 malam, sebelum mayat mangsa dijumpai jam 7.50 pagi tadi.

“Kejadian disahkan. Maklumat kemalangan seorang penunggang motosikal terbabas ke dalam Sungai Jemaluang di Jalan Sekakap diterima jam 11.15 malam tadi.

“Pencarian dimulakan malam tadi di lokasi dan mayat mangsa ditemui jam 7.50 pagi ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Alias Hussin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor pula menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.26 malam.

Katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian yang berhampiran sebuah kolam udang di Jalan Sekakap, Seri Pantai di sini.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada jam 11.36 malam, mendapati berlaku kemalangan jalan raya mebabitkan sebuah motosikal yang terbabas.

“Mangsa seorang lelaki berusia 19 tahun dilaporkan telah terjatuh ke dalam sungai. Tindakan awal PKO adalah melakukan pencarian di sepanjang tebing sungai berhampiran tempat kejadian.

“Pada jam 12.45 tengah malam, PKO telah memohon bantuan tambahan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai bagi membantu operasi pencarian,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Alias berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi terakhir dia dilihat sebelum mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung kejadian itu selepas seorang pengguna media sosial dipercayai saudara mara mangsa membuat siaran langsung di aplikasi TikTok sepanjang operasi SAR dijalankan.

Turut dikongsikan di media sosial adalah wajah dan nama mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Danish Zaquan Ahmad ‘Yazir dan dipercayai berasal dari Pasir Gudang dan merupakan pelajar GiatMara Mersing.

IMedikel 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here