KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan pendirian menghormati keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menggantung beberapa pemain warisan negara, namun menegaskan semua pihak perlu memberi ruang kepada proses rayuan yang bakal dijalankan.
Memetik laporan Harian Metro, presidennya, Jais Abdul Karim berkata, tindakan FIFA itu dibuat selepas menerima laporan rasmi daripada beberapa persekutuan luar sebelum menjalankan semakan terhadap dokumen keturunan pemain terbabit.
“Pada peringkat ini, kami meminta semua pihak supaya menghormati proses yang sedang berjalan dan membenarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta pihak berkaitan mengemukakan hujah serta bukti.
“Proses ini perlu dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan fakta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Jais, MCW percaya Malaysia memiliki asas kukuh untuk mempertahankan kes berkenaan dan menegaskan badan itu kekal komited terhadap integriti serta akauntabiliti dalam sukan bola sepak.
“Kami juga mengajak penyokong supaya bertenang dan terus memberi sokongan moral sepanjang proses rayuan ini berlangsung kerana semangat pemain perlu dijaga,” katanya.
Terdahulu, FIFA menggantung beberapa pemain warisan Malaysia sekali gus melarang mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya sehingga proses rayuan selesai.
Langkah itu diambil selepas badan induk bola sepak dunia berpuas hati wujud keraguan terhadap dokumen warisan yang dikemukakan.
Keputusan mengejutkan itu hadir ketika skuad kendalian Peter Cklamovski sedang membuat persiapan untuk kempen kelayakan Piala Asia sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kekuatan pasukan dalam perlawanan penting akan datang.
Pada masa sama, FAM juga sudah mengesahkan akan memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA bagi mempertahankan hak pemain berkenaan.
Badan induk itu menegaskan setiap proses pendaftaran dilakukan mengikut prosedur sah dan menolak sebarang dakwaan wujud niat jahat. – HMetro Online –
IMedikel TV






