Home Buletin Semasa MAHU TENAGA EKSTRA, ITU ALASAN PEMANDU LORI AMBIL DADAH – JPJ

MAHU TENAGA EKSTRA, ITU ALASAN PEMANDU LORI AMBIL DADAH – JPJ

43
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Alasan mahu mendapatkan tenaga tambahan ketika memandu jarak jauh dikenal pasti antara punca segelintir pemandu lori sanggup mengambil dadah tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, alasan itu sering diberikan pemandu yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya.

“Itu alasan yang banyak kita terima daripada penguatkuasaan yang kita jalankan.

“Pemandu-pemandu ini memberi alasan untuk mendapatkan tenaga yang lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, malam tadi.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta PLUS.

Zulkifly berkata, sepanjang operasi bermula 1 Julai hingga malam tadi, seramai 121 pemandu kenderaan perdagangan dan persendirian menjalani ujian serta saringan dadah.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 12 individu didapati positif dadah membabitkan 10 pemandu kenderaan perdagangan dan dua pemandu persendirian warga tempatan berusia antara 40 hingga 50-an.

“Kes positif paling banyak membabitkan ketum, diikuti syabu dan ganja.

“Ini membuktikan masih terdapat segelintir pemandu memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan keselamatan ribuan pengguna jalan raya setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, setiap majikan turut bertanggungjawab memastikan pemandu yang digajikan bebas daripada penyalahgunaan dadah kerana syarikat yang gagal mematuhi syarat pelesenan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD), termasuk penggantungan lesen pengendali.

Menurutnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah kerana tindakan itu boleh mengundang tragedi dan meragut nyawa pengguna jalan raya.

Mengulas operasi bersepadu itu, beliau berkata pemeriksaan memberi tumpuan di lokasi strategik seperti plaza tol, stesen penguatkuasaan dan terminal bas bagi membolehkan saringan dijalankan secara menyeluruh terhadap pemandu berisiko tinggi.

Katanya, operasi berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pematuhan undang-undang, meningkatkan keselamatan jalan raya serta memastikan pemandu kenderaan perdagangan sentiasa kompeten dan bebas daripada pengaruh dadah ketika memandu.

“Mana-mana pemandu yang ditahan akan menjalani pemeriksaan oleh AADK dan mereka yang didapati positif akan ditahan oleh agensi itu.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, lesen memandu mereka boleh digantung atau dibatalkan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here