BUENOS AIRES: Penyokong Argentina memilih bergantung kepada pelbagai amalan dipercayai membawa tuah atau cabala ketika pasukan mereka bersiap menghadapi Sepanyol pada aksi final Piala Dunia awal pagi Isnin ini.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Argentina yang diketuai Lionel Messi hanya selangkah untuk mempertahankan gelaran dunia selepas menewaskan England 2-1 pada separuh akhir.
Bagi penyokong tegar, amalan seperti tidak berganjak dari tempat duduk ketika perlawanan berlangsung menjadi antara petua yang dipercayai mampu membawa kejayaan.
“Ketika perlawanan berlangsung, tiada siapa dibenarkan berganjak dari tempat yang mereka duduki sebelum ini,” kata Andres Gonzalez, 48, kepada AFP.
Katanya, jika seseorang meninggalkan tempat duduk dan pasukan menjaringkan gol, individu itu akan diminta kekal di situ sehingga perlawanan tamat.
Ahli sosiologi, Diego Murzi berkata, kepercayaan terhadap cabala bukan sekadar gurauan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hubungan emosi rakyat Argentina terhadap bola sepak.
“Dalam bola sepak, rakyat Argentina tidak melihat diri mereka sebagai penonton semata-mata, sebaliknya sebagai sebahagian daripada perjalanan pasukan,” katanya.
Menurut Murzi, amalan sedemikian turut dikaitkan dengan bekas jurulatih Argentina, Carlos Bilardo yang terkenal dengan kepercayaan terhadap petua tuah ketika membimbing pasukan itu muncul juara Piala Dunia 1986.
Selain itu, legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona turut terus menjadi simbol kebanggaan rakyat negara itu, manakala sesetengah penyokong masih mengamalkan petua lama seperti menyimpan pelekat pemain lawan di dalam peti sejuk.
“Saya ambil pelekat pemain lawan dan letakkannya dalam peti sejuk. Datuk saya yang mengajar saya cara itu,” kata peminat Messi berusia 11 tahun, Rodrigo Serna.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






