Drama bersiri Rindu Kasih 1 dan 2 : Teratak Kasih Salina yang memaparkan kisah Salina, isteri teraniaya yang dibenci ibu mentuanya pernah mencetuskan fenomena di Slot Samarinda, TV3 sebelum ini.
Ramai yang menitiskan air mata dan terkesan dengan lakonan mantap gandingan Ummi Nazeera, Izzue Islam dan Fazlina Ahmad Daud dalam drama bersiri arahan Pali Yahya itu.
Justeru, pastinya ramai yang tidak sabar menantikan musim ketiga drama bersiri 15 episod Rindu Kasih 3 yang bakal bersiaran tidak lama lagi.
Selain Ummi dan Fazlina, drama bersiri Rindu Kasih 3 menampilkan barisan pelakon baharu seperti Aqasha, Luqman Hafidz dan Hasnul Rahmat sebagai teraju utamanya.
Secara peribadi, Luqman mengakui menggalas tanggungjawab besar untuk melakonkan watak jahat iaitu Faqeh dalam drama Rindu Kasih musim ketiga ini.
Luqman atau nama sebenarnya, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 32, berkata, apa yang mencabar dia perlu menjiwai watak Faqeh yang turut mengalami masalah mental.
“Pada mulanya, watak Faqeh nampak seperti lelaki yang normal, tetapi dia berubah menjadi jahat pada penghujung cerita.
“Faqeh juga mengalami masalah mental tapi tidak spesifik sama ada dia menghidap bipolar dan sebagainya,” katanya.
Berkongsi perkembangan drama bersiri Rindu Kasih 3 lagi, kata Luqman penggambaran dijangka selesai pada hujung bulan ini.
“Rindu Kasih musim pertama dan kedua dapat sambutan hangat penonton dan ini percubaan kami dengan barisan pelakon baharu untuk menaikkan lagi graf yang sudah tinggi.
“Drama bersiri ini adalah penjenamaan semula Teratak Kasih Salina yang kembali selepas episod akhir musim kedua sebelum ini,” katanya.
Selain drama bersiri Rindu Kasih, Luqman juga menanti tiga projek filem lakonannya berjudul Harimau Merah 1, Harimau Merah 2 dan Harimau Merah 3 terbitan Multimedia Entertainment yang akan ditayangkan di platform OTT tahun ini.
Filem genre aksi ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Pablo Amirul dan Ammar Alfian.
“Saya terbabit dengan tiga projek sekali gus dalam filem yang memaparkan kisah geng kongsi gelap.
“Watak saya seperti dalam filem genre aksi Young and Dangerous dan filem ini diklasifikasi sebagai P18,” katanya.
Sementara itu, Luqman berkata, dia juga bakal terbabit dalam Teater Muzikal Puteri Hang Li Po yang akan dipentaskan semula pada tahun ini.
“Saya difahamkan teater itu mendapat sambutan daripada penonton ketika dipentaskan di Encore Melaka selama empat hari pada Oktober tahun lalu.
“Saya juga masih ditawarkan watak sama iaitu Sultan Melaka dalam teater itu,” katanya yang pernah terbabit dengan pementasan Ola Bola The Musical sebelum ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






