Home Buletin Semasa LESEN PENJUALAN VAPE TIDAK PERNAH DILULUSKAN DI KELANTAN

LESEN PENJUALAN VAPE TIDAK PERNAH DILULUSKAN DI KELANTAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebarang lesen berkaitan penjualan vape di Kelantan tidak pernah diluluskan berikutan bahan tersebut boleh membawa ancaman besar kepada masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata operasi bersepadu akan sentiasa dijalankan oleh agensi penguatkuasaan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membanteras aktiviti penjualan vape.

“Kita tidak pernah keluarkan lesen Vape atau Nanostick dan sekiranya ada premis yang menjualnya itu adalah operasi secara haram.

“Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dengan jelas mengawal lebih ketat kegiatan penjualan, pengiklanan dan tempat merokok semua jenis produk termasuk vape,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-Chempaka), Nik Bahrum Nik Abdullah mengenai langkah perlu diambil menangani isu kedai Nanostick dan Vape yang masih banyak beroperasi di kawasan kawalan PBT pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Seterusnya, Hilmi berkata sebanyak 40 operasi vape telah dilaksanakan dan 67 premis disita sepanjang tahun lepas.

Manakala pada Mac tahun ini pula, sebanyak 10 kali operasi telah dilaksanakan dan 16 premis telah disita.

“Kita mohon semua pihak di Kelantan tidak kira pada pelbagai peringkat umur supaya tidak terlibat dengan Vape,” katanya.

Dalam pada itu, Hilmi berkata kerajaan negeri akan terus mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk tidak terlibat dengan aktiviti berkaitan vape.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here