Home Buletin Semasa 232 TAPAK PEMANCAR 5G DIBANGUNKAN DI KELANTAN, LIPUTAN CAPAI 67 PERATUS

232 TAPAK PEMANCAR 5G DIBANGUNKAN DI KELANTAN, LIPUTAN CAPAI 67 PERATUS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak 232 tapak pemancar 5G dibangunkan di Kelantan setakat Januari tahun ini menjadikan liputan 5G di kawasan berpenduduk kini mencecah 67 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan penduduk negeri ini dalat menikmati liputan 5G yang stabil dan meluas.

“Setakat 31 Januari 2025, sebanyak 232 tapak pemancar 5G telah dibangunkan di Kelantan memberikan liputan 5G di kawasan berpenduduk sebanyak 67 peratus. Liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara adalah 82.4 peratus dengan kadar fiberisasi bagi tapak bersepadu pada kadar 72.7 peratus.

“Bagi memastikan penduduk dapat menikmati liputan 5G yang baik, dari masa ke semasa, pihak MCMC bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan sentiasa berbincang, merancang dan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan seperti menambah lokasi baharu menara telekomunikasi, menaiktaraf dan/atau menambah kapasiti rangkaian, menjalankan ujian dan pemeriksaan secara berkala rangkaian yang ada,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-Melor), Wan Rohimi Wan Daud mengenai langkah kerajaan negeri dalam membantu menyediakan talian penghantaran (highway) Fiber Optik pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri sudah menyediakan Pelan Kesalinghubungan Gentian Optik Kelantan atau Kelantan Fiberization Connectivity Plan bagi memperluas liputan internet berkelajuan tinggi ke kawasan perindustrian, komersial dan pusat pendidikan termasuk sekolah serta institut pengajian tinggi (IPT).

“Bagi menggalakkan lagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini, beberapa insentif turut dipertimbangkan oleh kerajaan negeri termasuk kemudahan kebenaran kemasukan awal, tertakluk kepada bayaran deposit 50 peratus bagi projek berkaitan kerajaan,”jelasnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here